|
UCAPAN Y.A.B DATO’ HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN, MENTERI BESAR JOHOR PADA MAJLIS PELANCARAN BAS ISKANDAR MALAYSIA DI TERMINAL KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA; PADA HARI ISNIN 1 FEBRUARI 2010, JAM 3 PETANG
Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur di atas limpah kurnia dan Innayah daripada Allah swt kerana menganugerahkan kesejahteraan kepada negara kita dan kesihatan kepada seluruh rakyat untuk membolehkan kita berhimpun pada majlis pelancaran perkhidmatan Bas Iskandar Malaysia pada hari ini. Kita mendoakan supaya negeri Johor Darul Takzim sentiasa dilindungi Allah dan berada dalam keadaan aman, harmoni, tenang lagi ceria di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Memperbaiki sistem pengangkutan awam di Iskandar Malaysia bukanlah satu projek yang mudah. Ia memerlukan komitment pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi pelaksana dan penguatkuasa, dalam memainkan peranan yang lebih efisien dan innovatif. Sektor awam dan swasta perlu berusahasama mengembeling tenaga untuk mencapai hasil yang optima dan berimpak tinggi. Rakyat juga perlu menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui maklumbalas yang tepat dan konstruktif. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Perkhidmatan Bas Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada hari ini adalah “buah tangan” pertama dari IMTSC dan juga PAIM. Projek ini adalah usahasama diantara Kerajaan Negeri, PAIM dan syarikat-syarikat bas tempatan yang terpilih. Tiga pengendali perkhidmatan bas telah dipilih untuk melaksanakan projek Bas Iskandar Malaysia ini, dan mereka adalah Syarikat Pengangkutan Maju Berhad, Handal Indah Sdn. Bhd. dan Syarikat Kenderaan S&S Sdn. Bhd. IRDA sebagai agensi pemudahcara, telah memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin dalam melaksanakan projek ini dalam masa yang singkat. Projek ini juga mendapat sokongan daripada kerajaan pusat dan selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Kerajaan juga merancang untuk menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam. Rakyat bakal merasai keberkesanan teknologi dan aplikasi sistem transit bas laju (Bus Rapid Transit) yang mampu bersaing dengan sistem transit rel ringan (Light Rel Transit –LRT) dari segi kapasiti, rangkaian perkhidmatan dan kemudahcapaian. Beberapa projek lain juga dirancang untuk menyokong sistem transit bas laju (BRT) ini, antaranya kemudahan ‘park and ride’, laluan pejalan kaki, sistem tiket automatik, terminal penukaran, terminal-terminal bersepadu, hentian-hentian yang mesra pengguna, dan juga perkhidmatan bas pengantara yang berkualiti bagi menghubungkan rakyat ke laluan utama. Kajian terperinci keatas sistem rel bandar (LRT) juga sedang dilakukan untuk menilai sistem yang sesuai, kebolehlaksanaan projek, dana, dan faedah-faedah kepada rakyat dari sudut ekonomi dan sosial. Kajian ini akan membantu kerajaan Negeri merancang pembangunan dan dana bagi merealisasikan sistem pengangkutan alternatif ini di masa yang akan datang. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal ditubuhkan tidak lama lagi. Kita berharap kewujudan SPAD bakal memberi nafas baru kepada industri bas dan pengangkutan awam secara amnya, melalui pelaksanaan dasar – dasar yang lebih jelas, pro-aktif dan mantap. INSYAALLAH, dengan komitmen yang jitu dari semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan tidak ketinggalan sokongan daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan akar umbi serta rakyat seluruhnya, mudah-mudahan cita-cita ini dapat kita realisasikan bersama. Akhir kata, penghargaan dan terimakasih kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha murni ini dan juga kepada semua yang hadir untuk menjayakan majlis pada hari ini. Semoga usaha yang kita lakukan, diberkati Allah SWT dan diberi laluan yang mudah dan kesenangan yang berpanjangan. Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
|