JOHOR BAHRU, Khamis, 25 Mac: Sebanyak 3000 orang termasuk penganggur dan majikan dijangka mendaftar dengan Pusat JobsMalaysia Iskandar Malaysia sewaktu pameran kerjaya yang akan berlangsung selama dua hari. Pusat ini bagi memenuhi permintaan peningkatan tenaga kerja di dalam kawasan Iskandar Malaysia.
Di sini, pusat tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Dato’ Abdul Ghani Othman. Ia merupakan salah satu daripada 12 pusat JobsMalaysia yang dibuka serentak seluruh negara oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak pada hari ini.
Pusat ini akan menjadi penghubung kepada mereka yang mencari pekerjaan sama ada di dalam atau diluar negara melalui kemudahan padanan perkerjaan. Selain itu, pusat ini juga memberikan bimbingan dan kaunseling kerjaya. Bagi penempatan dan promosi kerjaya, ia akan berkolaborasi dengan institusi pendidikan, sekolah, pihak kerajaan dan juga sektor swasta.
Abdul Ghani yang merupakan Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyatakan bahawa melalui sistem ini, para pencari kerja global akan dipautkan kepada majikan-majikan di dalam kawasan Iskandar Malaysia. Pautan adalah berdasarkan padanan kriteria utama iaitu pengalaman, skil, taraf pendidikan dan lain-lain.
“Pusat ini juga menyediakan data yang terkini penawaran dan permintaan tenaga kerja untuk Iskandar Malaysia bagi memudahkan perancangan strategik. Ini bagi membolehkan penyertaan secara proaktif yang bertujuan mengurangkan jurang di dalam permintaan dan penawaran tenaga kerja. “
“ Mengikut perancangan, pusat ini akan menjadi salah satu faktor utama unjuran kadar pengambilan tenaga kerja sekali gus mencapai target dan aspirasi jangka masa panjang Iskandar Malaysia seperti yang dirancang di dalam Rangka Tindakan Modal Insan Iskandar Malaysia” kata beliau lagi.
Beliau juga menambah golongan sasaran bagi program ini adalah graduan yang menganggur, pekerja yang diberhentikan, golongan kurang upaya, ibu tungal, pesara, pelajar universiti, dewasa yang bekerja dan pelajar yang menyambung pelajaran secara konstan.
Serentak dengan itu juga,pameran kerjaya selama dua hari diadakan sempena pembukaan pusat ini. Pameran kerjaya ini menawarkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan terdiri daripada 40 buah syarikat yang berpusat di Iskandar Malaysia.
Abdul Ghani juga berkata bahawa dengan jumlah pencari kerja yang besar, pihak majikan akan mempunyai lebih pilihan dari segi skil. Pameran ini juga sebagai platform para bakal pekerja bertemu dengan majikan yang berpotensi mengambil mereka bekerja.
“Banyak peluang pekerjaan sedia ada dan akan diadakan di Iskandar Malaysia. Ini adalah peluang kepada para pencari kerja dan saya amat mengalakkan mereka untuk datang ke sini dan lihat sendiri peluang yang disediakan untuk mereka,”beliau menambah.
Inisiatif ini adalah salah satu contoh di mana pihak kerajaan, melalui IRDA dan Kementerian Sumber Manusia mengotakan janji untuk memberi sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor yang menyatakan bahawa beliau gembira melihat inisiatif penting seperti ini dijalankan dan menepati aspirasi kerajaan untuk menwarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Lain-lain Pusat JobsMalaysia yang juga dilancarkan pada hari ini adalah di Port Klang, Kelana Jaya di Selangor,Segamat(Johor),Sungai Petani(Kedah), Kota Baru(Kelantan), Ipoh(Perak), George Town (Penang), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu(Sabah) and Kuala Terengganu(Terengganu). Untuk sebarang maklumat lanjut, silalah layari http://www.jobsmalaysia.gov.my.
Latar Belakang IRDA
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar(IRDA) ialah pihak berkuasa yang dimandatkan untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalankan usaha-usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab bagi merealisasikan visi dan objektif Iskandar Malaysia kearah menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa.
Sebarang pertanyaan mengenai media, sila hubungi Puan Marsha Tan di talian 019-777 8475 atau Encik Ghazali Musa di talian 019-754 5115 .
Latar Belakang Rangka Tindakan Modal Insan Iskandar Malaysia