Kemahiran baru bantu Orang Asli tembusi industri binaan
JOHOR BAHRU, Isnin April 5th – Penduduk perkampungan Orang Asli Simpang Arang di Gelang Patah, di sini, sudah boleh tersenyum bangga kerana segala penat lelah generasi muda mereka akhirnya membuahkan hasil apabila penduduk menerima kunci bagi empat unit rumah yang dibina sendiri oleh golongan belia di perkampungan berkenaan, hari ini.
Semuanya dihasilkan menerusi Program Kemahiran Belia Tempatan (BERTAM), satu daripada 13 program dalam Rangka Kerja Pembangunan Modal Insan Iskandar Malaysia bagi mempertingkat kemahiran belia tempatan supaya lebih kompeten dan kompetetif.
Lebih membanggakan, 41 belia yang dipertanggungjawab membina unit-unit rumah berkenaan turut menerima Sijil Tamat Latihan Bagi Kursus Pembinaan Bangunan Orang Asli daripada Menteri Besar, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman.
Mereka adalah di kalangan 200 belia yang menerima sijil graduasi menerusi projek BERTAM.
Sejumlah enam (6) kursus dilaksanakan di bawah Project BERTAM iaitu Kursus Pembinaan Bangunan Orang Asli, Kursus Perniagaan (Bahagian 1 dan Bahagian 2), Kursus Pemasangan Penghawa Dingin, Kursus Nurseri dan Kursus Kimpalan.
Kursus Pembinaan Bangunan Orang Asli adalah usaha sama antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) menerusi perkongsian bijak dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Menteri Besar, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, berkata, program berkenaan membolehkan lebih ramai bakat tempatan dihasilkan bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja.
Ini terutamanya dalam sektor pembinaan dan perniagaan dan secara tidak langsung menghasilkan peluang kerja untuk rakyat tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing.
“Program ini agak unik kerana ia membabitkan belia Orang Asli, yang tidak memiliki sebarang kemahiran asas dalam industri pembinaan disebabkan aktiviti utama ekonomi mereka selama ini banyak tertumpu kepada pertanian dan menangkap ikan.
“Belia Orang Asli ini sudah membuktikan bahawa mereka mempunyai keupayaan dan bakat dalam sektor pembinaan dan buktinya adalah program pada hari ini – empat (4) rumah baru berjaya dibina untuk penduduk kampung berkenaan,” kata Abdul Ghani yang juga Pengerusi Bersama IRDA.
Sambil mengucapkan tahniah kepada peserta program, Menteri Besar berkata, golongan belia ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan di wilayah ekonomi yang sedang pesat membangun ini bagi merealisasikan visi Iskandar Malaysia sebuah metropolis kukuh, mapan dan bertaraf antarabangsa.
Katanya, 41 belia Orang Asli yang dilatih akan ditawarkan peluang pekerjaan di tapak pembinaan projek yang dibangunkan di dalam kawasan Iskandar Malaysia.
Projek BERTAM digerakkan Ogos tahun lalu dan berakhir 31 Mac, dengan penyertaan 200 belia tempatan di kawasan Iskandar Malaysia.
#TAMAT#
Latar Belakang IRDA
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ialah pihak berkuasa yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalankan usaha-usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab merealisasikan visi dan objektif Iskandar Malaysia ke arah sebuah metropolis bertaraf antarabangsa.
Sebarang pertanyaan media, sila hubungi Puan Marsha Tan di talian 019-777 8475 di talian 019-754 5115