JOHOR BAHRU, Khamis 25 Ogos: Dalam usaha mengurangkan kesesakan lalulintas serta melancarkan perjalanan trafik menjelang musim perayaan, laluan dari Persimpangan Jalan Tun Abdul Razak menuju ke Bukit Indah dibuka dengan rasminya hari ini.
Menurut Ketua Eksekutif IRDA Ismail Ibrahim, dua lorong di setiap laluan dibuka kepada orang ramai sejak jam 3 petang tadi bertujun membantu melancarkan perjalanan bagi mereka yang memandu dari bandaraya Johor Bahru menuju ke Bukit Indah melalui Danga Bay.
“Kami menjangkakan kesesakan lalulintas sempena musim perayaan akan dapat dikurangkan dengan pembukaan jalan ini”, kata Ismail.
Dengan lencongan ini pengguna jalanraya dari Danga Bay mempunyai pilihan untuk menuju ke Bukit Indah selain menggunakan Jalan Skudai.
Ismail berkata, jalan yang terlibat adalah sebahagian daripada Projek Lebuhraya Persisir yang akan siap sepenuhnya menjelang 2012. Beliau menambah, walaupun dibuka kepada laluan awam masih terdapat sedikit kerja-kerja yang perlu disiapkan di sepanjang lebuhraya tersebut.
“Para pengguna juga dinasihatkan mengikut had laju yang telah ditetapkan bagi keselamatan bersama .Bagi pihak IRDA, saya merakamkan ucapan terima kasih kami di atas sokongan dan kesabaran para pengguna jalanraya yang terlibat.”
“IRDA komited di dalam menyiapkan projek-projek ini dan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik serta kerajaan bagi membangunkan ISKANDAR MALAYSIA. Ini adalah untuk kesejahteraan kita semua,”kata Ismail.
Orang awam yang mempunyai pertanyaan lanjut atau maklum balas mengenai projek-projek jalanraya boleh menghubungi IRDA di talian 1 800 88 3010 atau emel kepada rmk9info@irda.com.my.
--- Tamat ---
Latar Belakang IRDA
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi kuasa untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalan usaha-usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab merealisasikan visi dan objektif Iskandar Malaysia ke arah sebuah metropolis kukuh, mampan dan bertaraf antarabangsa.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Norhayati Sulaiman di talian 019-700 7877 atau Marsha Tan di talian 019-777 8475.