1,300 jawatan kosong diisi
Johor Bahru, Selasa, 26 April - Sejumlah 7,500 pengunjung melawat Expo Kerjaya Iskandar Malaysia(IMCE) 2010 yang bertempat di Expo Hall,Danga City Mall pada hujung minggu lalu. Daripada jumlah itu, 1,300 orang berjaya mengisi kekosongan itu.
Bertemakan 'Peningkatan kerjaya, Memperkaya Komuniti' , peserta Expo kerjaya terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat multinasional, dan syarikat-syarikat swasta. Peluang kerjaya yang ditawarkan terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan iaitu di peringkat bawahan sehingga ke pentadbiran tertinggi.
Tawaran kekosongan jawatan berdasarkan sembilan (9) kelompok ekonomi utama Iskandar Malaysia. Antaranya Perkhidmatan Kewangan, Perkhidmatan Logistik dan yang berkaitan, Perkhidmatan Pendidikan, Industri Kreatif, Pelancongan, Perkhidmatan Kesihatan, Elektrik dan Elektronik, Petrokimia dan Kimia Oleo, dan Pemprosesan Agro dan Makanan.
Expo kerja ini dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar(IRDA) dan Jabatan Tenaga Kerja serta disokong oleh Pusat JobsMalaysia.
Kebanyakan pengunjung terdiri daripada graduan-graduan yang baru menamatkan pengajian dan mencari peluang-peluang pekerjaan. Walaubagaimana pun, bagi yang berpengalaman, peluang ini digunakan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Seorang pekerja kilang, Ahmad Nabil,30, mendapat tahu mengenai IMCE ini daripada rakannya lalu terus menyemak peluang-peluang perkerjaan yang ditawarkan. Selain itu, dia turut kagum dengan jumlah jawatan kosong yang ditawarkan.
" Expo kerjaya ini berbeza daripada yang lain apabila banyak syarikat terlibat terdiri daripada sektor Kerajaan sehingga ke sektor swasta. Ini amat membantu kami dalam mencuba mendapatkan pekerjaan selain daripada mencari kekosongan jawatan melalui iklan yang dikeluarkan di dalam surat khabar"
" Dengan promosi yang hebat, tidak mustahil expo kerjaya ini boleh menjadi lebih besar pada masa akan datang" kata Ahmad.
Graduan Pengurusan Perniagaan, M.Sugumaran memberitahu bahawa IMCE memberikannnya peluang untuk berdepan dengan majikan yang berpotensi , tidak seperti selalu, iaitu menghantar permohonan dengan hanya melalui emel atau pos.
" Saya amat menghargai usaha penganjur mengadakan expo seperti ini, yang dapat membantu para graduan baru seperti kami. Tambahan dengan adanya ceramah kerjaya dan penulisan resume"
" Saya memilih untuk mencari pekerjaan di Johor Bahru kerana pembangunan Iskandar Malaysia. Saya percaya bahawa banyak peluang untuk membina kerjaya di sini dan berasa bangga menjadi sebahagian daripada pembangunan ini" tambah graduan daripada Universiti Utara Malaysia yang berusia 24 ini.
Seorang lagi pengunjung, anak kelahiran Johor Bahru- Shirly Boon,24, berkata bahawa dia akan menamatkan pengajiannya di dalam bidang perakaunan daripada Universiti Malaysia Terengganu tidak lama lagi. Dia juga amat teruja untuk kembali dan berkerja di kampung halamannya.
" Terdapat banyak peluang pekerjaan di sini, namun kadang-kala kita tidak tahu hendak cari di mana. Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur yang mengadakan IMCE, juga JobsMalaysia yang banyak membantu dari segi mendapatkan pekerjaan. Semua ini sangat memudahkan kami" akuinya lagi.
Nor Hisham Hussein, Ketua Komunikasi dan Pembangunan Modal Insan,IRDA, menyatakan bahawa IMCE adalah salah satu inisiatif yang diimplementasi untuk memudahkan para pencari kerja dengan cara memadankan majikan dan pekerja di Iskandar Malaysia. Ini adalah seperti yang dicadangkan oleh Pelan Induk Pembangunan Modal Insan Iskandar Malaysia.
" Kami amat teruja dan bersemangat dengan sambutan yang diberikan daripada orang awam dan sememangnya akan memperbaiki dan mempertingkat lagi usaha kami pada masa akan datang"
Latar Belakang IRDA
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi kuasa untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalan usaha-usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab merealisasikan visi dan objektif Iskandar Malaysia ke arah sebuah metropolis kukuh, mampan dan bertaraf antarabangsa.
Untuk pertanyaan sila hubungi Puan Marsha Tan di talian 019-777 8475 atau Encik Ghazali Musa di talian 019-754 5115