JOHOR BAHRU, KHAMIS, 11 Mac: Pengguna Jalan Yahya Awal, di sini, kini boleh menikmati kelancaran aliran trafik menerusi pembukaan persimpangan bertingkat baru Jalan Yahya Awal kepada pengguna mulai dua hari lepas (9 Mac 2010).
Persimpangan bertingkat yang dibina membabitkan kos RM30.41 juta sepanjang 800 meter itu berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berulang alik daripada bandaraya Johor Bahru.
Projek berkenaan adalah satu daripada lapan projek infrastruktur Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Projek bermula pada Oktober 2008. Projek berkenaan berjaya disiapkan enam bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan siap iaitu Oktober 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim, berkata kemudahan berkenaan berupaya meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.
“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberikan komitmen padu dalam memastikan kemudahan infrastruktur ini siap mengikut jadual bagi memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat sekali gus meningkat tahap hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke persimpangan bertingkat berkenaan pada hari Selasa lalu.
Katanya, beliau secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya dan masyarakat di atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
“Kami menghargai terhadap kesabaran orang ramai yang terpaksa melalui kesulitan untuk tempoh jangka masa yang pendek demi memberi manfaat dalam jangka masa panjang kepada semua pihak. “ katanya.
Ismail memberi jaminan kepada orang awam bahawa para kontraktor yang telah dilantik oleh IRDA perlu mematuhi garis panduan keselamatan di tapak projek. Dan ini penting bagi memastikan mereka patuh kepada penanda aras yang telah ditetapkan.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak kontraktor yang ingkar dan kami juga mengalu-alukan maklum balas daripada orang awam sekiranya mereka merasakan bahawa kontraktor tidak menjalankan tugas dengan betul”
“Pihak kami boleh dihubungi terus melalui talian “hotline” atau melalui emel. Kami berjanji semua komen akan diterima secara positive,” kata Ismail, menambah bahawa semua projek jalanraya dan lebuhraya IRDA yang membabitkan RMK9 sedang berjalan lancar mengikut jadual.
“Selain daripada jalan raya dan lebuhraya, kami juga memperbaiki sistem saliran di pusat bandar. Projek ini sudah pun 95% siap dan mengikut jadual. Apabila siap, sistem saliran dan aliran air di bandaraya akan lebih lancer dan seterusnya mengurangkan kejadian banjir kilat,” katanya lagi.
Beliau berkata bahawa kerja-kerja pembaikan tersebut akan siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas hubungi talian +607-218 3100 atau emailkan kepada rmk9info@irda.com.my.
#TAMAT#
Mengenai IRDA
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) adalah badan berkanun yang diberi kuasa untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalankan usaha-usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab bagi merealisasikan visi dan objektif Iskandar Malaysia ke arah pengwujudan sebuah metropolis kukuh dan lestari bertaraf antarabangsa.
Untuk pertanyaan mengenai media, sila hubungi Puan Marsha Tan di talian 019-777 8475.