AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 10 Jun 2012 melalui ruangan pendapat Yuanlun memaparkan tulisan Tiong Sin Hui berkaitan industri petro-kimia di Pengerang, Johor.
Selepas perhimpunan Hijau dan bantahan nadir bumi diadakan, penduduk Pengerang pula mengadakan bantahan pada 26 Mei lalu bagi mengelakkan terkuburnya kampung halaman mereka.
Mereka menentang pembinaan kilang Petrochemical Kuok Kuang dari Taiwan di Pengerang yang menelan belanja RM60.8 bilion melibatkan 22,500 ekar tanah termasuk penambakan laut seluas 500 ekar.
Perkampungan yang mempunyai hasil tangkapan udang galah itu telah lama menambat hati pelancong tetapi setelah projek penapisan minyak dan industri petro-kimia dilancarkan, tanah perkuburan Cina, sekolah rendah Cina, Kuil Cina, masjid dan kampung halaman akan diambil alih sementara kehidupan nelayan akan terjejas.