Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Bangkok, Thailand pada 22 hingga 23 Februari ini dan ke Myanmar pada 23 hingga 24 Februari 2012.
Beliau juga akan mewakili Malaysia pada mesyuarat tidak rasmi Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-18 yang akan diadakan dari 25 hingga 26 Februari 2012 di Nay Pyi Daw, Myanmar.
Misi perdagangan dan pelaburan ke Thailand dan Myanmar bertujuan untuk mengukuhkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi Malaysia dengan kedua-dua negara.
Selain daripada itu, misi ini juga bertujuan mengenal pasti peluang-peluang kerjasama perniagaan dalam sektor-sektor seperti industri pembinaan, pembangunan infrastruktur, pelancongan, pertanian, penjagaan kesihatan, minyak dan gas.
Kementerian Perdagangan dan Industri dalam kenyataannya berkata, pada Mesyuarat tidak rasmi AEM, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dijangka mengkaji dan membincangkan kemajuan yang telah dicapai dalam pelaksanaan langkah-langkah untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015.
Pelaksanaan Pelan Tindakan AEC bagi Fasa 1 (2008-2009) dan 2 (2010-2011) secara purata adalah pada tahap 75.6 peratus.
Menteri-menteri ekonomi juga akan membincangkan mengenai inisiatif serta kaedah baharu bagi mengukuhkan integrasi ekonomi Asean selepas 2015 dan mengambil tindakan susulan terhadap keputusan yang telah dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali pada November tahun lalu.
Ia adalah selaras dengan Rangka Kerja Pembangunan Ekonomi Saksama Asean di mana semua warga negara ASEAN seharusnya mendapat manfaat daripada integrasi ekonomi rantau itu.
AEM juga dijangka membincangkan hubungan Asean dengan rakan-rakan dialog, termasuk isu-isu yang berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean dengan China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.