Kesemua projek pembangunan di Iskandar Malaysia adalah bebas daripada sebarang pencemaran termasuk jumlah pelepasan karbon dioksida yang sangat rendah.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, projek-projek mega di wilayah tersebut dibangunkan mengikut spesifikasi dan piawaian.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan negatif dan ini bermakna projek-projek itu dibangunkan dengan baik tanpa mencemarkan alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Alam Sekitar Transformasi Cintai Alam Sekitar di Pasir Gudang dekat sini hari ini.
Joseph berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan projek-projek di Iskandar Malaysia mencemarkan alam sekitar serta tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan 350 buah kilang di kawasan perindustrian Pasir Gudang supaya mematuhi dan mengamalkan sistem yang mesra alam.
“Ia penting bagi memastikan pencemaran udara, air, sisa-sisa toksik, jerebu dan sebagainya berada pada tahap paling minimum,” katanya dan meminta pihak industri turut menyedia program kesedaran alam sekitar untuk para pekerjanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar berkata, pihaknya melakukan pemantauan di semua kilang tersebut secara berkala dan berdasarkan aduan orang ramai bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.
Menurutnya, MPPG merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang mempunyai unit khas untuk memantau perkembangan alam sekitar kerana Pasir Gudang adalah kawasan perindustrian utama di selatan Semenanjung.
Beliau berkata, pihaknya juga berjaya mengawal kewujudan kilang-kilang haram di Pasir Gudang yang biasanya beroperasi untuk sementara waktu sahaja.
On memberitahu, sebanyak 20 notis dikeluarkan MPPG dalam tahun ini terhadap kilang-kilang yang melakukan pelbagai kesalahan tetapi semuanya tidak berlarutan sehingga ke mahkamah kerana pihak berkenaan mematuhi perintah MPPG.
Sekiranya berlaku sebarang kesalahan katanya, mereka akan didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang memperuntukkan denda antara RM2,000 sehingga RM10,000.