Cadangan China untuk menukar hentian kapal-kapal dagangnya dari pelabuhan Singapura ke Johor dilihat mampu menarik pelabur ke bandar raya ini.
Sebelum ini, kapal-kapal dagangnya dari Shantou, Guandong menggunakan kemudahan dan kemudahan pelabuhan di Singapura dan kini melihat Johor sebagai pilihan terbaik untuk mereka.
Datuk Bandar Johor Bahru, Burhan Amin berkata, kapal-kapal dagang tersebut ditawarkan menggunakan khidmat Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah atau Pelabuhan Tanjung Langsat, di Pasir Gudang, dekat sini, untuk tujuan itu.
“Ini lebih mudah mereka menjalankan perniagaan. Ia juga dapat membantu kerajaan meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara,” katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pihak pengurusan Bandar Raya Shantou, di sini, baru-baru ini.
MoU bagi pihak MBJB diwakili oleh Burhan manakala pihak pengurusan bandar raya berkenaan pula diwakili Timbalan Datuk Bandar Shantou, Zhau Zhen Song.
Tujuan MoU itu adalah menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan, perniagaan, ekonomi dan kebudayaan antara MBJB dan Shantou yang terletak di selatan China.
Burhan berkata, Johor Bahru yang mempunyai setengah juta penduduk mampu menarik pelaburan kerana merupakan hab untuk sektor pelancongan dan perindustrian di negeri ini.
Tambahnya, jalinan kerjasama itu perlu dipergiat melalui usaha mewujudkan penerbangan terus dari Johor Bahru-Shantou untuk memudahkan pelabur China ke Johor.
Sementara itu, Zhen Song berkata, Shantou yang mempunyai 5.4 juta penduduk mempunyai sejarah perhubungan dengan Johor sejak 200 tahun lalu melalui penghijrahan rakyatnya ke sini.