Jom cari kerja sempena Kepak hari ini

22 October 2011 , By Utusan

Setelah berjaya menarik puluhan ribu pengunjung di beberapa lokasi di negeri ini, Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak 2011) kini menjengah ke daerah Batu Pahat dan Kluang mulai esok.


Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan di sini memberitahu, karnival empat hari itu diadakan di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan kemahiran kepada orang ramai termasuk orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan miskin.


Program berkenaan dijadual dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja.


Sasaran program itu bukan sahaja kepada ibu tunggal, tetapi merangkumi golongan berpendapatan kurang daripada RM3,500 termasuk yang tinggal di kawasan perkampungan, Felda, suri rumah dan individu yang berminat untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.


Antara institusi yang akan menawarkan bantuan kepada golongan OKU adalah Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kelainan Upaya (UPPOKU) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga dan golongan OKU boleh mendaftarkan diri dan menunggu untuk padanan kerja oleh unit itu dan pihak majikan.


Hingga kini seramai 27 OKU berjaya ditempatkan di pelbagai bidang pekerjaan termasuk Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB), Carrefour Sutera Utama, Tesco Tebrau City, Easy Clean, Dian Radio Teksi dan industri perhotelan, iaitu Hotel Mutiara serta Hotel Grand Paragon.


Bagaimanapun, masih terdapat kekosongan jawatan yang boleh diisi oleh OKU dalam bidang perhotelan, pembantu dapur dan pemasaran melalui majikan seperti Coway, Hotel New York dan Hotel Tanjung Puteri.


Pendedahan peluang seperti itu kepada golongan OKU dilihat dapat membantu mereka bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan tetapi juga berupaya membentuk jati diri dan keyakinan diri supaya tidak berasa rendah diri.


Golongan ibu tunggal juga digalakkan untuk meningkatkan pendapatan menerusi program yang disediakan termasuk Program Usahawan Bestari Ayamas Sdn. Bhd. iaitu salah satu anak syarikat Johor Corporation (JCorp).
Sebelum ini, Kepak diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, Kota Tinggi dan Mersing. Selepas ini, Kepak dijadualkan akan menemui rakyat di daerah Muar November ini.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Iskandar Insight Newsletter

Here is where you can find and downloa...

Why Malaysia? : Facts & Figures

The Federation of Malaysia comprises P...

Connection with RMK-9

The Ninth Malaysia Plan (2006-2010) re...

 
Share |