KDNK: Hanya 4% suku kedua

18 August 2011 , By Utusan

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama tahun ini berkembang pada kadar sederhana sebanyak 4.4 peratus.

Bagi suku kedua pula, ia mencatat pertumbuhan sebanyak empat peratus berbanding 4.9 peratus bagi suku pertama 2011.

Pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini agak rendah jika dibandingkan dengan KDNK dalam tempoh yang sama bagi tahun 2010 iaitu sebanyak 9.5 peratus.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Abd. Aziz ketika mengulas perkembangan terkini ekonomi negara berkata, pertumbuhan sederhana itu berikutan ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan harga komoditi dan gangguan rangkaian bekalan global yang boleh memberi kesan kepada pencapaian KDNK sepanjang tahun.

Bagaimanapun, beliau yakin pertumbuhan KDNK untuk tahun ini sekurang-kurangnya tumbuh lima peratus berikutan sokongan aktiviti domestik yang kukuh.

“KDNK negara pernah berada pada paras paling rendah -1.7 peratus sebelum ini tetapi kita tetap beruntung kerana mempunyai asas-asas domestik yang baik,’’ kata Zeti pada sidang akhbar mengenai pencapaian KDNK bagi tempoh suku kedua 2011 di sini hari ini.

Bagi pencapaian KDNK suku kedua 2011, sektor pertanian menunjukkan peningkatan pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 6.9 peratus berbanding 2.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Manakala perlombongan menyusut sebanyak -9.2 peratus manakala pembinaan tumbuh sebanyak 0.6 peratus.

Sektor perkhidmatan pula berkembang sebanyak 6.3 peratus berbanding 7.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Zeti menambah, pihaknya yakin pelaksanaan projek-projek yang agresif di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada separuh kedua tahun ini dapat meningkatkan pencapaian KDNK.

Katanya, bagi separuh pertama 2011, KDNK sudah mencapai hampir lima peratus, manakala sepanjang tahun, ia dijangka dapat mencapai sekurang-kurangnya sasaran lima peratus.

‘’Kami akan lebih berhati-hati membuat penilaian mengenai KDNK. Sehubungan itu, penilaian semula KDNK akan dibuat pada Oktober ini yang turut mengambil kira keadaan semasa dan persekitaran ekonomi global,’’ ujarnya.

Ketika ditanya mengenai krisis kewangan di Eropah yang akan berterusan sekali gus menjejaskan pencapaian ekonomi di Malaysia, Zeti Akhtar menjawab, ketidakstabilan itu akan menjana pertumbuhan yang lebih perlahan.

Namun, katanya, Malaysia tetap mempunyai asas ekonomi domestik yang kukuh.

Zeti Akhtar memberitahu, sektor swasta kekal kukuh sepanjang separuh pertama 2011 yang dilihat aktif dalam pelaburan domestik.

Katanya, ia merupakan aktiviti nilai tambah dalam negara yang perlu dipertingkatkan.

“Lebih 60 peratus dagangan Malaysia adalah dengan negara-negara ekonomi baru muncul iaitu di Asia dan juga di negara-negara yang serantau seperti Asia Barat dan Afrika.

‘’Negara-negara serantau ini tidak terlibat dalam krisis kewangan Eropah,’’ jelasnya.

Mengulas tukaran wang asing, Zeti berkata, nilai Ringgit akan terus mengukuh dan berada di kedudukannya seperti biasa yang memberi lebih fleksibiliti untuk aktiviti dagangan dan pelaburan.

Tambah Zeti Akhtar, ketidakstabilan ekonomi global turut memberi peluang untuk menarik tenaga Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali dan juga menarik perhatian ekspatriat.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Blueprint for Iskandar Malaysia

Here is where you can find and downloa...

Comprehensive Development Plan (CDP)

The Comprehensive Development Plan (CD...

FAQs

1. What is Iskandar Malaysia...

Connection with RMK-9

The Ninth Malaysia Plan (2006-2010) re...

Development Blueprints

Infusing best practices of internation...

Comparison of Crime Index in Iskandar Malaysia

Year 2009 : Jan-Feb | Feb-Mar | Mar-Ap...

 
Share |