Ekonomi Malaysia tumbuh 4 peratus

18 August 2011 , By Berita Harian

EKONOMI Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana empat peratus dalam tempoh suku kedua tahun ini berikutan kelembapan dalam persekitaran luar negara serta perbelanjaan sektor awam yang rendah. 

Kadar itu adalah lebih rendah berbanding pertumbuhan suku pertama yang disemak semula pada 4.9 peratus, serta 8.9 peratus pada suku sama tahun lalu. 

Berikutan pencapaian itu, ekonomi negara berkembang 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata kelembapan ekonomi di negara maju dan gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada bencana alam di Jepun menyebabkan sektor perkilangan mencatat pertumbuhan lebih perlahan.

“Namun, pertumbuhan keseluruhan terus disokong permintaan dalam negeri serta pengukuhan eksport komoditi dan produk berasaskan sumber berikutan permintaan serantau menggalakkan dan harga komoditi yang tinggi,” katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi Malaysia untuk suku kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Asas ekonomi negara dalam separuh kedua lalu keseluruhannya kekal kukuh dengan pertumbuhan 5.2 peratus dalam perbelanjaan domestik, kadar pengangguran rendah dan sektor perbankan mantap. 

Pelaburan langsung asing (FDI) bersih juga meningkat kepada RM6.2 bilion pada suku pertama daripada RM4 bilion suku sebelumnya, berikutan persekitaran pelaburan yang semakin meningkat.

Zeti berkata, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bertambah baik pada separuh kedua berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang positif, disokong kegiatan ekonomi di kebanyakan negara sedang membangun serta pemulihan dalam rantaian bekalan global.

Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia dijangka mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus bagi seluruh tahun ini disokong asas kukuh ekonomi dan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Pertumbuhan dalam separuh kedua ini akan terus dirangsang permintaan domestik dan perdagangan serantau yang kukuh serta eksport komoditi dan produk berasaskan sumber,” katanya.

Beliau menegaskan, dalam persekitaran semasa keutamaan Bank Negara adalah untuk menyokong pertumbuhan, pada masa sama membendung inflasi.

Inflasi negara berada pada kadar purata 3.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini, terutama disebabkan kenaikan harga makanan dengan kadar 3.4 peratus dicatatkan pada Julai adalah yang paling tinggi sejak Mac 2009.

Bank Negara mengunjurkan kadar inflasi bagi seluruh tahun ini berada pada kadar antara 2.5 hingga 3.5 peratus.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Iskandar Insight Newsletter

Here is where you can find and downloa...

FAQs

1. What is Iskandar Malaysia...

MM2H programme

Malaysia My Second Home Programme (MM2...

Iskandar Service Centre

Iskandar Service Centre provides one-s...

Where to Stay & Eat?

Accommodation For the discerning inves...

 
Share |