Pembinaan rangkaian kereta api intra bandar di kawasan Iskandar Malaysia menjelang 2012 masih di peringat perancangan, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Pembinaan projek bernilai RM1.23 bilion bersama Metropolitan Commuter Network Sdn. Bhd. (MCN) itu bagaimanapun telah diluluskan sebelum ini dalam usaha kerajaan negeri membangunkan pengangkutan awam yang lebih efektif di Iskandar Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha sektor swasta seperti MCN untuk menyediakan alternatif pengangkutan awam di negeri ini, namun ia perlu mendapat sokongan dan kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Unit Kerjasama Awam Swasta dan kerajaan Pusat sebelum dapat dilaksanakan.
Menurutnya, cadangan lain yang dikemukakan MCN adalah rangkaian komuter hingga ke Woodlands, Singapura iaitu satu perkhidmatan interim sehingga pelan Sistem Rapit Transit (RTS) antara JB Sentral dan Republic Station selesai dilaksanakan.
“Dari segi konsep, cadangan MCN adalah menggunakan infrastruktur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedia ada menyebabkan rangkaian sistem komuter itu tidak mungkin akan bercantum dengan Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura.
“Bagaimanapun, cadangan MCN itu masih di peringkat perancangan serta perlu mendapat kelulusan,” katanya semasa sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sebelum ini Dr. Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) semasa sesi perbahasan mengutarakan isu tersebut sama ada rangkaian komuter itu akan sampai ke Woodlands dan bercantum dengan sistem tren negara berkenaan serta kadar tambang dan manfaat bakal diperoleh kerajaan negeri.
Abdul Ghani berkata, masih terlalu awal untuk memberi maklum balas mengenai projek berkenaan memandangkan perbincangan lanjut dan terperinci diperlukan antara semua pihak yang terlibat.