Lebih 50,000 kerja kosong di Johor

28 March 2011 , By Utusan Malaysia

Kepesatan ekonomi Johor terutama di wilayah Iskandar Malaysia membuka lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kategori termasuk 13,000 jawatan profesional di seluruh negeri ini.

Di wilayah Iskandar Malaysia sahaja, sebanyak 5,000 jawatan profesional ditawarkan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 15,000 kekosongan jawatan profesional pada tahun depan.

Sebanyak 29,000 jawatan lagi melibatkan pekerjaan asas manakala bakinya termasuk perkeranian, juruteknik, perkhidmatan, pertanian dan perikanan, operator loji dan mesin pemasang.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, orang ramai khususnya warga Johor boleh memperoleh maklumat pekerjaan tersebut dengan mengunjungi Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) yang akan menjelajah ke setiap daerah mulai April hingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, Kepak adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mendedahkan mereka kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan kemahiran.

"Pendekatan itu adalah usaha kerajaan negeri membentuk sebuah masyarakat maju dan berpendapatan tinggi. Ia sebahagian daripada langkah transformasi ke taraf kehidupan yang lebih baik.

"Ini sejajar dengan program pembangunan modal insan di bawah strategi kedua Bajet Negeri Johor 2011 iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kepak yang dijadual berlangsung selama lima hari di setiap daerah akan mendekati rakyat secara turun padang dengan menghimpunkan agensi dan jabatan berkaitan dengan kerjaya, keusahawanan serta majikan swasta di bawah satu bumbung.

Menteri Besar berkata, program Kepak akan memadankan pencari pekerjaan dengan majikan yang memerlukan kemahiran mereka dan proses temuduga secara terbuka boleh dijalankan sepanjang program itu.

Aktiviti lain sepanjang karnival berkenaan ialah pendaftaran program latihan dan kemahiran, ujian kecekapan dan kemahiran, pameran peluang perniagaan, sesi perkongsian pengalaman, pendaftaran syarikat, kaunter sokongan teknikal dan pembiayaan modal serta demonstrasi aktiviti perniagaan.

Melalui cara itu, rakyat boleh didedah dan dipadankan dengan peluang pekerjaan yang ada, mendapat peluang menjana pendapatan menerusi perniagaan kecil serta meningkatkan kemahiran dan latihan semula.

Karnival sulung Kepak dijadualkan bagi daerah Johor Bahru dan Kulaijaya pada 20 hingga 24 April ini, diikuti di Kluang (Mei), Mersing (Jun), Kota Tinggi (Julai), Segamat (September), Batu Pahat (Oktober), Ledang dan Muar (November) dan Pontian (Disember).

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri berharap rakyat negeri ini yang sedang mencari kerja dan ingin meningkatkan keupayaan diri melalui kemahiran dan peluang perniagaan tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival tersebut.

"Anak Johor di perantauan juga digalakkan untuk mencari pekerjaan di negeri ini. Kita yakin bilangan pekerjaan yang ditawarkan akan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kepesatan ekonomi negeri," katanya.

Sebagai contoh, pada tahun ini sahaja, kepesatan Iskandar Malaysia telah menyuntik perkembangan industri elektrikal dan elektronik sehingga memerlukan lebih 2,000 pekerja berijazah, manakala Taman Tema Legoland pula menawarkan 1,000 peluang pekerjaan dengan kelayakan sijil kemahiran, katanya.

Related Content

Graduate Employability Management Scheme (GEMS)

The Graduate Employability Management ...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Medini Incentive Application Documents

Download Application Form For Approved...

What is Iskandar Malaysia : Industry Cluster

Industry Cluster   The Framework ...

Connection with RMK-9

The Ninth Malaysia Plan (2006-2010) re...

Ninth Malaysia Plan (9MP) Projects

IRDA accelerates the implementation of...

 
Share |