Sektor pembinaan biasanya memakan kos yang besar apatah lagi jika ia melibatkan projek terbengkalai. Namun, pelancaran Kulai Centre Point baru-baru ini menunjukkan keyakinan pemajunya, SCGM Plaza Sdn. Bhd. 'menghidupkan' bandar ini.
Pengerusinya, Datuk Lee Hock Seng berkata, Kulai Centre Point membuka pintunya kepada orang ramai selepas lebih 15 tahun terbengkalai dan ia memberi nafas baru bagi bandar yang dikenali dengan imej sunyi itu.
"Sebelum ini ia adalah kawasan rumah kedai sebelum kejadian kebakaran pada 1981 memusnahkan beberapa blok bangunan. Selepas terbiar lama, rancangan membangunkan sebuah hotel dan pusat beli-belah mula dibina tetapi terbengkalai akibat krisis kewangan 1997.
"SCGM kemudian mengambil keputusan membelinya pada 28 Februari 2009 dengan idea untuk menghidupkan semula Kulai Centre Point sebagai titik perubahan setelah sekian lama terbiar dan menyakitkan mata," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Pelancaran Kulai Centre Point pada 20 Mac lalu dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulaijaya, Md. Rofiki A. Shamsudin dan Timbalan Ketua Polis daerah, Kamil Sukarmi.
Bangunan lima tingkat yang turut menempatkan hotel tiga bintang dengan 140 bilik, pusat karaoke dengan 28 bilik dan 67 ruang kedai. Setakat ini semua lot kedai sudah disewa dengan kebanyakannya sedang menjalani ubah suai.
Kulai Centre Point bakal menjadi satu lagi daya tarikan di Kulaijaya dan dijadual mula beroperasi bulan depan.
Hock Seng turut menyatakan rancangan membangunkan Kulai Walk di bahagian belakang Kulai Centre Point yang terletak berhampiran dengan stesen kereta api malah, pihaknya juga sedang dalam perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk memindahkan pejabat tiket ke dalam bangunan itu bagi tujuan keselamatan.
"Kulai Walk ini sebagaimana Bintang Walk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Gerai-gerai makanan dengan ini bakal menjadi tarikan kepada pelancong kerana lokasi ini mempunyai pemandangan yang cantik," katanya.
Katanya, dengan kemudahan seperti bas, teksi dan kereta api yang terletak berdekatan secara tidak langsung menjadikan Kulai Centre Point sebuah hab pengangkutan bagi kawasan berdekatan.