Sistem Malaysia Bandar Selamat (MSAFE) Putrajaya akan memudahkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih pantas dalam menangani kejadian jenayah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaan sistem berkenaan akan membuka jalan ke arah mencapai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu keselamatan awam.
''Kami di kementerian kini tidak lagi berasa keseorangan kerana dapat bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan selain Telekom Malaysia Berhad dan Perbadanan Putrajaya menangani masalah jenayah.
''Ini menunjukkan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang merentasi pelbagai kementerian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MSAFE Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, setiap kementerian tidak boleh lagi berfikir dalam kerangka agenda masing-masing sebaliknya perlu bertindak secara holistik bagi memastikan keselamatan rakyat dapat dicapai.
''Perkara ini tidak boleh dijadikan polemik kerana dalam tempoh enam bulan pertama kita berjaya mengurangkan indeks jenayah sebanyak 36.6 peratus. Kita sudah berjaya berada pada landasan sebenarnya," katanya.
Pada sidang akhbar selepas itu, Hishammuddin berkata, usaha menurunkan kadar jenayah juga perlu mendapat kerjasama pihak swasta termasuk pemaju kawasan pembangunan baru.
Jelasnya, usaha tersebut boleh memberi kesan 'menang-menang' kepada pemaju kerana jaminan sistem keselamatan termasuk pemasangan CCTV boleh meningkatkan nilai jualan hartanah.
''Seperti Sime Darby yang menyediakan sistem keselamatan di kawasan perumahan dengan kos antara RM1.5 juta hingga RM2 juta, mereka dapat menjual rumah dengan harga yang lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini sebanyak 26 syarikat menandatangani perjanjian dengan kementerian bagi menyediakan sistem keselamatan di kawasan perumahan yang mereka bangunkan antaranya di Ara Damansara.
''Selepas ini kita akan melihat wilayah pembangunan di Iskandar Malaysia di Johor dengan mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk Singapura," katanya.