Konsep ‘wellness township’ kerjasama firma tempatan, asing.
NUSAJAYA: Kerajaan negeri bercadang membina sebuah pusat perubatan berkonsep ‘wellness township’ seluas 40 hektar di Teluk Danga, di sini yang akan dibangunkan dengan kerjasama syarikat tempatan dan sebuah syarikat dari Singapura.
Perancangan pembinaan pusat perubatan yang akan menawarkan perkhidmatan perubatan moden dan alternatif selain pusat kesedaran penyakit itu akan bermula penghujung tahun ini dan dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun lagi.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya berharap perancangan projek berkenaan akan dapat dimulakan sebelum penghujung tahun ini dan akan dibangunkan sebagai pusat perubatan lengkap.
Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membangunkan kemudahan di situ dan setakat ini sudah ada dua syarikat termasuk Temasek Holdings dari Singapura sudah berminat untuk memajukannya.
“Singapura seperti yang kita ketahui sudah menjalin kerjasama dengan tiga hospital di negara ini bagi memberi kemudahan perubatan kepada rakyatnya dan hospital ini mungkin menjadi satu lagi kemudahan yang dapat digunakan oleh rakyat negara ini dan Singapura,” katanya.
Abdul Ghani berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hospital Columbia Asia di Taman Kesihatan Afiat di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Colombia Asia, Kelvin Tan; ahli Exco kerajaan negeri dan ketua jabatan.
Hospital Colombia Asia berharga RM70 juta sudah memulakan operasinya pada 17 Jun lalu dan ia adalah tambahan kepada 19 lagi hospital milik syarikat terbabit yang beroperasi di rantau Asia.
Abdul Ghani berkata, bidang perubatan memang antara keutamaan dalam aspek pembangunan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.
“Kita dalam proses mewujudkan lebih banyak kemudahan perubatan di sini terutama di Nusajaya. Buat masa ini, sebuah fakulti perubatan Universiti Newcastle, England akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun lagi dan 100 pelajar mereka akan mengikuti pengajian tahun ketiga di sini.
“Universiti Monash juga menjadikan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini sebagai tempat latihan pelajar mereka dan kita memang ada cadangan wujudkan sebuah hospital di Nusajaya tetapi lokasi pembinaan hospital baru itu masih belum di tentukan,” katanya.