JOHOR BAHRU: Koridor pembangunan ekonomi Wilayah Selatan, Iskandar Malaysia berjaya menarik pelaburan baru tahun ini sebanyak RM4.2 bilion terutama dalam bidang perkilangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Ismail Ibrahim, berkata jumlah pelaburan tersebut dicatat sehingga bulan Mei lalu merangkumi pelabur dalam dan luar negara.
“Sektor pembuatan, perkhidmatan termasuk ICT adalah bidang yang menjadi tarikan utama para pelabur di Iskandar Malaysia.
“Antara pelabur utama termasuk dari negara jiran, Singapura, bagaimanapun, butir-butir lanjut mengenainya akan diumumkan kelak,” katanya.
Ismail berkata, kemudahan infrastruktur di Iskandar Malaysia akan terus dipertingkatkan selaras dengan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
“Kita sudah memohon meminta sejumlah peruntukan daripada Kerajaan Pusat namum jumlahnya akan diumumkan, Perdana Menteri kelak,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, Hari Terbuka Iskandar Malaysia yang sudah memasuki edisi keempat penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembangunan di Iskandar Malaysia dan manfaatnya selain memaklumkan perancangan dan kemajuan di wilayah berkenaan.
Beliau berkata, sejak dilaksanakan tahun lalu, ia mendapat pandangan positif daripada para pengunjung termasuk pelabur kecil dan sederhana.
“Kita akan meneruskan hari terbuka ini, di semua kawasan dalam Iskandar Malaysia, supaya masyarakat tempatan memahami apa sebenarnya, yang dimaksudkan dengan koridor pembangunan ekonomi ini,” katanya.