Kerajaan negeri berusaha untuk memulihkan bangunan terbengkalai di bandar raya ini kerana ia telah memberikan impak negatif terutama dari segi imej, keselamatan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut membantu mencari jalan penyelesaian supaya bangunan terbengkalai ini dapat dibangunkan dan dipulihkan semula selari dengan pembangunan Iskandar Malaysia.
Beliau berkata, lima inisiatif telah disediakan bagi memulihkan projek terbengkalai tersebut iaitu memberikan diskaun 50 peratus bagi bayaran mana-mana pelan pembangunan yang dimajukan dan mengecualikan wang amanah yang baru.
Kedua katanya, pemberian diskaun terhadap cukai harta tertunggak serta memberi kebenaran untuk memajukan mana-mana pelan pembangunan walaupun menghadapi tunggakan cukai harta atau tanah.
''Ketiga, mempertimbangkan cadangan pembangunan yang melibatkan tukar guna aktiviti dan perubahan rekabentuk bangunan selagi tidak bercanggah dengan rancangan tempatan daerah Johor Bahru yang diwartakan.
''Keempat, mempertimbangkan semula mana-mana syarat kelulusan asal yang melibatkan peruntukan kewangan yang besar," katanya.
Ahmad Zahri berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Boo Cheng Hau (DAP-Skudai), mengenai projek Lot One dan Kemayan City yang masih belum dipulihkan pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata, inisiatif terakhir yang diambil adalah dengan melakukan pemantauan di tapak projek yang terbengkalai bagi memastikan bangunan dikawal dari segi aspek keselamatan dan kebersihan.
Katanya, kerajaan negeri juga yakin bahawa dua projek terbengkalai iaitu Lot One dan Kemayan City tersebut dapat dipulihkan secara berperingkat-peringkat.