Sebanyak RM60.9 bilion pelaburan dari dalam dan luar negara berjaya dijana di Iskandar Malaysia sejak 2006 sehingga kini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, angka tersebut termasuk pelaburan dalam pelbagai sektor bagi enam bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak RM5.3 bilion.
Beliau memberitahu, antaranya ialah sektor perindustrian hartanah, infrastruktur dan utiliti perancangan.
“Pelaburan asing menyumbang 45 peratus manakala 55 peratus pula adalah daripada sektor tempatan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Osman Sapian (BN-Kempas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Osman bertanya mengenai jumlah pelaburan dan pembangunan sosial di Iskandar Malaysia yang telah diperoleh sehingga kini.
Ghani berkata, selain syarikat tempatan dan asing yang menjadi pelabur utama, syarikat milik kerajaan (GLC) turut melakukan pelaburan iaitu sebanyak RM2.9 bilion.
Mengenai usaha menarik pelaburan dari Singapura, beliau berkata, promosi masih dilakukan dan Singapura masih lagi negara pelabur ketiga terbesar di Iskandar Malaysia.
Jelasnya, pelaburan tersebut dijangka berterusan lebih-lebih lagi dengan adanya perjanjian Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) Malaysia-Singapura sebelum ini.
Selain Singapura katanya, pelaburan asing yang banyak melabur ialah dari Asia Barat, Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, beliau berkata, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah pun melabur RM24.8 bilion untuk melaksanakan lapan projek pembangunan di situ.
“Dua daripada lapan projek itu telah siap dibangunkan iaitu persimpangan bertingkat lingkaran dalam dan kolam air serta pembersihan sungai,” ujarnya.