Rakyat perlu ambil peluang manfaat pembangunan Iskandar Malaysia: PM
Rakyat dan pemimpin Umno Johor dinasihat tidak terlalu mengikut emosi, tertutup dan berfikiran jumud terutama dalam menerima pelaburan dari Singapura jika mahu negeri ini terus maju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat, termasuk pemimpin politik perlu berfikiran terbuka dan menerima pelabur Singapura seadanya supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati bersama.
"Jika mahu Iskandar Malaysia dan Johor yang juga kubu kuat UMNO terus maju, rakyat jangan mengkritik, mahupun mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka tidak suka pelabur Singapura melabur di sini. Kita mesti terbuka menerima dan membantu mereka membuat pelaburan kerana ia akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara dan rakyat Johor juga dialu-alukan melabur di Singapura.
"Tiada beza antara pelabur Singapura dengan pelabur luar lain jika pelaburan itu bermanfaat dan memberi peluang pekerjaan serta meningkatkan pasaran hartanah kita," katanya pada perasmian Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat dan Persidangan Perwakilan Umno Pulai, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan dan isteri Allahyarham Tan Sri Mohamed, Puan Sri Salbiah Abdul Hamid. Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Galeri Tok Mat Rahmat yang memaparkan koleksi peribadi peninggalan bekas Setiausaha Agung Umno dan Menteri Penerangan itu.
Najib yang juga Pengerusi Bersama Iskandar Malaysia berkata, UMNO perlu berani dan terus memacu membuat perubahan jika mahu berjaya pada kurun ke-21 ini.
"Hubungan Malaysia dan Singapura kini bertambah baik dan ia akan menguntungkan kedua-dua negara. Jadi, janganlah buat kenyataan yang melulu mengenai pelaburan Singapura ke Iskandar Malaysia. Bagi saya dan Datuk Ghani (Menteri Besar) mengolah kejayaan Iskandar Malaysia demi kemakmuran Johor," katanya.
Najib juga mengingatkan ahli UMNO mereka tidak boleh terus bersandarkan kepada kegemilangan sejarah serta syok sendiri kerana ia akan menyebabkan keruntuhan dan kekalahan parti pada pilihan raya, sebaliknya dijadikan pengajaran kepada ahli kerana ia tidak menjamin rakyat masih terus memerlukan UMNO.
"Kita perlu memahami denyut nadi rakyat. Tidak guna kita hanya menjaga sekelompok kecil penyokong parti, tetapi UMNO kalah. UMNO perlu terus menjadi tonggak kepada kekuatan Barisan Nasional (BN),” katanya sambil menambah ketokohan Mohamed atau Tok Mat tidak perlu dipertikaikan kerana beliau adalah arkitek yang menyelamatkan parti ketika diharamkan pada 1988.
"Seperti yang Tok Mat mahukan, UMNO perlu terus menjamin kecemerlangannya demi survival bangsa Melayu, kaum lain serta negara kerana UMNO tidak ada gantinya sebab ia adalah teras kepemimpinan negara," katanya.
Beliau berkata, UMNO juga perlu menunaikan janji menjaga rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan merasai denyut nadi segenap lapisan masyarakat tidak mengira bangsa, agama atau keturunan.
Najib turut mengingatkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN melupakan persengketaan sesama mereka kerana ia akan merugikan parti sehingga membolehkan pembangkang memperoleh kemenangan.
“Ambil iktibar kekalahan Brazil kepada Belanda pada perlawanan Piala Dunia. Bila penjaga gol dan pertahanan berlaga sesama sendiri, Belanda menjaringkan gol... itulah jangan Ahli Parlimen dan Adun BN bergaduh sesama sendiri kerana ia boleh menyebabkan kita kalah," katanya.