Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pemimpin negeri ini bersikap terbuka dengan menganggap pelaburan Singapura di Johor khususnya di Iskandar Malaysia memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.
Beliau berkata, hubungan dua hala yang semakin baik antara Malaysia dan Singapura turut membawa kebaikan kepada kedua-dua negara.
"Kehadiran para pelabur Singapura di Iskandar Malaysia diyakini banyak memberi keuntungan kedua-dua belah pihak, khususnya warga negeri ini.
"Kehadiran para pelabur terbabit boleh meningkatkan pendapatan perkapita, menaikkan harga tanah dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Ini maknanya menguntungkan rakyat," katanya.
Beliau berucap merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai dan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan, tidak ada bezanya antara pelabur Amerika Syarikat dengan pelabur Singapura.
Justeru, beliau tidak mahu melihat ada pemimpin atau ketua cawangan UMNO yang mempersoal atau mempertikaikan pelaburan dari Singapura di negeri ini.
"Dunia kini berada di abad ke-21. Kalau dulu kita kempen di kampung-kampung tetapi kini berikutan peredaran masa, maka cara atau stail berkempen juga telah berubah.
"Kini kita kempen menarik para pelabur di Washington DC (Amerika Syarikat), Beijing (China), New Delhi (India) dan beberapa negara terkemuka lain," katanya.
"Kita berkempen di situ kerana tempat-tempat itu adalah pasaran dunia bagi menarik para pelabur untuk melabur di negara kita khasnya di Iskandar Malaysia," katanya.
Beliau berkata, untuk berjaya di persada dunia, rakyat negara ini harus berfikiran dan bertindak secara efisien, berdaya tahan, berani, berkeyakinan tinggi dan berteknologi tinggi.
"Saya mahu melihat Malaysia maju dan berjaya dalam abad ke-21 ini. Kita mesti maju, berani dan berkeyakinan tinggi di persada dunia," katanya.