Perdana Menteri meminta semua pihak supaya berfikiran terbuka dan menolak perasaan emosional di dalam isu pelaburan Singapura di negeri Johor, khususnya di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO berkata, jika Singapura atau negara-negara lain membuat pelaburan di Iskandar Malaysia, penduduk di Johor akan turut merasai keuntungannya.
"Jika kita mahu melihat Iskandar Malaysia dan Johor maju, kita mesti bersikap terbuka terhadap semua pelaburan. Apa yang beza di antara pelaburan Singapura dan Amerika Syarikat, tiada bezanya, asal menguntungkan," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pulai dan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.
Perdana Menteri juga meminta supaya tiada sikap tertutup dan berfikiran sempit berkenaan soal pelaburan asing ke negara ini khususnya daripada Singapura kerana dunia kini berada pada abad ke-21.