Kerajaan negeri mengalu-alukan pembukaan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf dunia di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram) berkata, lambakan pembukaan universiti dan kolej di negeri itu mematuhi Akta Institusi Swasta 1996 (555) dan mendapat akreditasi bagi kursus yang ditawarkan.
"Setiap IPTS ini mempunyai reputasi yang baik di negara mereka sendiri mahupun antarabangsa seperti pembukaan Universiti Newcastle di Iskandar Malaysia amat dialu-alukan pembukaan kampus dan cawangannya di sini" katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Osman Sapian (BN-Kempas) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Maulizan berkata, sebanyak 253 kolej dan sekolah swasta didaftarkan melibatkan 31 buah universiti, 31 buah sekolah rendah dan menengah akademi/agama dan kolej.
Menjawab soalan tambahan M. Munusamy (BN-Permas) mengenai masalah pelajar mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana kursus tidak diiktiraf, Maulizan berkata, masalah timbul apabila institusi hanya mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Namun beliau berkata, bagi graduan yang ingin bekerja di sektor kerajaan, institusi pengajian tinggi perlu memohon kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kursus yang disediakan.
Justeru, Maulizan mengingatkan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran agar menyemak terlebih dahulu kursus yang ditawarkan di sesebuah institusi sebelum memohon.