The Report: Malaysia 2010 sedia panduan pelaburan di Malaysia
LAPORAN The Report: Malaysia 2010 terbitan Oxford Business Group, syarikat penerbitan berpangkalan di Britain, penting sebagai rujukan mengenai persekitaran ekonomi dan pelaburan Malaysia, justeru, dapat menarik pelabur untuk melabur di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata laporan berkenaan menyediakan panduan kepada pelabur, penganalisis serta komuniti perniagaan antarabangsa mengenai daya saing dan potensi pelaburan di Malaysia.
“Ketika kita berharap manfaat unik melabur di Malaysia dirasai sendiri oleh pelabur, namun dalam situasi pasaran global semasa adalah penting untuk menyediakan maklumat tepat dan bebas kepada pelabur supaya mereka mengetahui mengenai hala tuju masa depan serta peluang yang ada di negara ini.
“Rujukan tahunan seperti The Report: Malaysia 2010 berperanan penting untuk menarik pelabur ke Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran laporan berkenaan, di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi Oxford Business Group, Michael Benson-Colpi.
The Report: Malaysia 2010 diterbitkan dengan kerjasama Malayan Banking Bhd sebagai rakan penerbitan dan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd sebagai penaja media.
Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia bersedia melaksanakan transformasi struktur ekonomi besar-besaran seperti yang diperlukan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Ia katanya, akan dicapai menerusi pelaksanaan pelbagai pendekatan menyeluruh dan fokus untuk mencapai matlamat itu.
“Matlamat kerajaan untuk mencapai pendapatan perkapita RM38,850 (AS$12,140) jelas dilihat menerusi pelaksanaan pelan lima tahun antara 2011-2015 yang mana memerlukan negara meraih pertumbuhan ekonomi pada kadar enam peratus. Satu cita-cita besar yang mampu dicapai,” katanya.
Untuk itu, beliau berkata, pelaburan awam dalam ekonomi perlu dikurangkan dan diambil alih oleh pelaburan swasta.
Susulan itu, katanya, pelaburan persendirian diunjur berkembang 12.8 peratus peratus setahun, untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Di pihak kerajaan pula, kita akan memastikan persekitaran ekonomi keseluruhannya menyokong ekonomi bernilai tinggi; dan modal insan perlu ditingkatkan menerusi peningkatan peluang pendidikan dan pembangunan kemahiran.
“Kerajaan perlu berubah menjadi pemudah cara yang cekap, dan menggariskan peraturan dan tatacara perubahan yang perlu untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti perniagaan dan ekonomi,” kata Najib.
Dalam melaksanakan perubahan itu, beliau berkata, ketelusan menjadi faktor utama.
Ketika ini, katanya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sedang mengenalpasti apa yang perlu dilakukan untuk memastikan transformasi yang dirancang kerajaan akan dilaksanakan pada Januari 2011.
Untuk itu, Pelan Pelaburan Sektor Awam, yang menyediakan program terperinci akan mula diedarkan kepada kementerian yang berkaitan pada pertengahan Ogos ini, kata Najib.
Sementara itu, Najib berkata, keutamaan kepada inovasi terbukti mampu menjadi negara berdaya saing.
“Malaysia mendapat pelajaran bermakna daripada negara jiran di Asia dan kami juga dalam proses untuk menggunapakai pelajaran berkenaan dalam bidang yang betul.
“Ini adalah pencetus bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dan rasional bagi inisiatif dasar kerajaan menumpukan kepada usaha kami untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.