AURA Iskandar Malaysia untuk menarik kehadiran pelaburan yang begitu banyak tidak perlu disangkal mana-mana pihak. Hakikat itu terserlah apabila berjaya menarik pelaburan hampir RM60 bilion, mengatasi sasaran RM47 bilion ditetapkannya untuk tempoh sehingga awal tahun ini.
Bukan mahu mendabik dada, tetapi seharusnya kejayaan itu patut dipuji meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar susulan kemelesetan ekonomi global, namun pelaburan di Iskandar Malaysia kekal positif serta menepati matlamat pembangunannya.
Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2007 adalah koridor pembangunan berkeluasan 2,217 kilometer persegi di Johor yang dibahagikan kepada lima zon iaitu Zon A merangkumi seluruh bandar raya Johor Bahru, Zon B (Nusajaya), Zon C (Pelabuhan Tanjung Pelepas), Zon D (Pasir Gudang) dan Zon F sekitar Senai. Menerusi pelan komprehensif, Iskandar Malaysia dijangka menerima pelaburan sehingga RM110 bilion menjelang 2025.
Iskandar Malaysia yang juga koridor pembangunan terbesar di antara lima koridor pembangunan di negara ini, menumpukan sembilan kluster ekonomi seperti elektronik dan elektrik, petrokimia dan oleokimia, makanan dan pemprosesan agro, logistik, pelancongan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kewangan serta industri kreatif.
Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pula adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk merancang, mempromosi dan memudah cara usaha pembangunan di Iskandar Malaysia. Ia juga bertanggungjawab merealisasikan wawasan dan objektif Iskandar Malaysia ke arah menjadi sebuah bandar raya kukuh dan lestari bertaraf antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim, dipetik berkata pelaburan di Iskandar Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu pelaburan baru yang membabitkan penyertaan pelabur baru atau yang memindahkan operasinya ke wilayah berkenaan.
Katanya, satu lagi pelaburan membabitkan pelabur sedia ada yang meningkatkan jumlah pelaburan untuk tujuan mengembangkan operasi atau memindahkan cawangan operasi ke wilayah itu bagi menyepadukan operasi bawah satu bumbung.
Menerusi Pelan Komprehensif, Iskandar Malaysia menjangkakan menerima pelaburan sehingga RM110 bilion menjelang 2025. Iskandar Malaysia seluas 2,217 kilometer persegi itu dijangka mempunyai kepadatan penduduk sehingga tiga juta orang berbanding 1.3 juta pada masa ini.
Bukti betapa Iskandar Malaysia sudah memiliki testimoni positif apabila sehingga Disember 2009, jumlah pelaburan ke dalam Iskandar Malaysia bernilai RM55.56 bilion. Daripada jumlah itu, 37 peratus sudah dibelanjakan untuk pembangunan di Iskandar Malaysia. Pencapaian ini adalah 124 peratus melebihi sasaran 2009.
Sehingga Mac 2010 pula, iaitu suku pertama tahun ini, jumlah pelaburan ke dalam Iskandar Malaysia hampir mencecah RM60 bilion. Daripada pelaburan bernilai RM55.56 bilion, sejumlah RM30.08 bilion (54 peratus) adalah pelaburan domestik dan RM25.48 bilion (46 peratus) adalah pelaburan asing.
Di Iskandar Malaysia, isu keselamatan dan perlindungan digariskan menerusi strategi bersepadu Pelan Induk Keselamatan dan Perlindungan bertujuan memantapkan kesiapsiagaan, pencegahan, penghindaran dalam semua aspek keselamatan dan perlindungan awam.
Pelaksanaannya secara bersepadu membabitkan semua agensi yang bertanggungjawab ke arah keselamatan dan perlindungan bagi memastikan persekitaran kerja, tempat tinggal dan tempat awam lain berada dalam keadaan penjagaan keselamatan yang tinggi.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia dan kewujudan Pondok Polis Komuniti Polis di kawasan-kawasan ‘panas’ sekitar wilayah itu. Jelas IRDA amat komited dalam memastikan bahawa pembangunan Iskandar Malaysia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan alam semula jadi.
Oleh itu, IRDA kini dalam proses merancang Pelan Induk Perancangan Alam Sekitar meliputi perkara berkaitan isu global seperti perubahan cuaca dan pembangunan terhadap ekonomi hijau. Objektif pelan induk itu adalah untuk mencapai pembangunan dan penggunaan tanah yang berpanjangan bagi mengekal dan memelihara kualiti, sifat dan rupa alam sekitar bagi kebaikan semua.
IRDA juga sudah dan akan terus bekerjasama rapat dengan kelima-lima pihak berkuasa tempatan di dalam Iskandar Malaysia, Persatuan Pencinta Alam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkepentingan di dalam sektor pembangunan dan juga orang ramai, bagi memastikan pelan induk berkenaan dikaji, dirancang dan diterima baik semua pihak.
Sesudah siap, IRDA akan memastikan penyampaian dan pelaksanaan pelan induk berkenan supaya berdasarkan pemeliharaan, perlindungan dan penambahbaikan alam semula jadi.
Reka bentuk dan pelan pembangunan projek perumahan bagi penempatan penduduk setinggan dirangka lengkap dengan kemudahan termasuk rekreasi lebih baik dan lengkap. Ini termasuk kawasan rekreasi untuk keluarga seperti taman permainan kanak-kanak dan kawasan lapang untuk bersukan.
Isu setinggan perlu ditangani bersama oleh semua pihak. Dalam masalah itu, IRDA bekerjasama dengan kerajaan dan pemaju yang terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk golongan berkenaan.
Dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), ada dua projek pemindahan penduduk kawasan setinggan iaitu di kawasan pinggiran Sungai Tebrau dan pinggiran Sungai Skudai (Kampung Skudai Kiri).
Bagi projek Sungai Tebrau, jumlah keluarga yang terbabit ialah 2,720 keluarga dan di Skudai Kiri adalah sebanyak 1,500 keluarga.
Bagaimanapun, projek pemindahan Sungai Tebrau lebih berkonsepkan kepada pemindahan ‘in-situ’ dengan projek perumahan baru yang dibina dalam kawasan sama.
IRDA bersama-sama dengan kerajaan negeri merancang program pembangunan sosial bagi penduduk setinggan yang akan dipindahkan dan memberi tumpuan kepada aspek peningkatan sosioekonomi supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi dan pembangunan Iskandar Malaysia.