Sistem BRT mula beroperasi 2012

15 June 2010 , By Berita Harian

Bas Rapid Transit sejauh 40 kilometer hubung bandar raya Johor Bahru ke Iskandar Malaysia

BATU PAHAT: Sistem Bas Rapid Transit (BRT) iaitu sistem pengangkutan bas berbentuk tram sejauh 40 kilometer (km) yang menghubungkan pusat bandar Johor Bahru ke Iskandar Malaysia dijangka mula beroperasi pada 2012.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata projek berkenaan sudah dibentangkan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, sebagai permulaan sistem BRT itu akan menggunakan dua laluan utama iaitu Laluan Tebrau dan Laluan Skudai secara dua hala sejauh 40 km dan beberapa butiran penting termasuk hentian basnya juga sudah dikenal pasti.

“Kita berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat membantu kerajaan negeri supaya sistem pengangkutan berkenaan dapat mula beroperasi di Johor Bahru dalam masa dua tahun ini.

“Sistem pengangkutan BRT ini digunakan dengan meluas di banyak negara di dunia dan saya sendiri baru balik dari Brisbane, Australia bagi meninjau sistem pengangkutan ini yang digunakan dengan meluas di sana dan saya berpendapat ia lebih baik dari sistem Transit Aliran Sederhana (MRT).

 “Kita menjangkakan dalam masa lima tahun lagi lebih banyak di Johor Bahru  terutama kawasan perumahan akan dihubungkan dengan sistem BRT ini sekali gus akan menjadi antara sistem pengankutan utama di bandaraya,” katanya selepas lawatannya sempena Rawatan Aplikasi Teknologi Mikrob di Laggoon Sembrong, Parit Raja, di sini.

Abdul Ghani berkata, sistem BRT didapati antara sistem pengangkutan berkesan dan efektif untuk dilaksanakan berikutan kosnya yang lebih rendah berbanding sistem MRT.

“Kerajaan negeri juga tidak perlu membina laluan baru khususnya membina laluan bertingkat mahupun mengorek tanah bagi membina laluan bawah tanah tetapi cukup dengan membina laluan khas bas di laluan sedia ada sekarang.

“Sistem BRT ini juga lebih sesuai untuk beroperasi dari Johor Bahru ke Iskandar kerana ia lebih fleksibel di samping mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat.

“Malah jika dua laluan yang dibuat itu berjaya, kita juga bercadang menggunakan bas hidbrid, yang lebih mesra alam dan tidak perlu kepada penggunaan diesel mahupun petrol bagi menjimatkan kos operasi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan kekerapan bas serta ketepatan masa perkhidmatannya akan sentiasa dipatuhi apabila sistem BRT ini beroperasi nanti.

Related Content

Bus Iskandar Malaysia Service

'Khidmat Mesra, Komuniti Selesa'...

Iskandar Malaysia Blueprints

There are 32 blueprints to provide a m...

Comprehensive Development Plan (CDP)

The Comprehensive Development Plan (CD...

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

 
Share |