Johor merancang menggunakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) iaitu sistem pengangkutan bas berbentuk trem sejauh 40 kilometer yang menghubungkan pusat bandar raya Johor Bahru ke Iskandar Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek berkenaan telah dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk tindakan lanjut dan dijangka memulakan operasinya dalam tempoh dua tahun lagi.
"Sebagai permulaan, sistem BRT ini akan menggunakan dua laluan utama iaitu Tebrau dan Skudai secara dua hala sejauh kira-kira 40 kilometer dan hentiannya juga telah dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lagoon Sembrong, Parit Raja sempena Rawatan Aplikasi Teknologi Mikrob dekat sini baru-baru ini.
Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diharap dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan rancangan itu supaya sistem pengangkutan berkenaan dapat mula beroperasi di Johor Bahru dalam masa dua tahun ini.
Abdul Ghani berkata, sistem BRT ini digunakan dengan meluas di banyak negara termasuk di Brisbane, Australia.
"Pada pendapat saya ia lebih baik daripada sistem Transit Aliran Sederhana (MRT) dan kita menjangkakan dalam masa lima tahun lagi ia akan digunakan di kawasan Johor Bahru terutamanya di taman perumahan," katanya.
Beliau berkata, andai dapat dilaksanakan, BRT akan menjadi antara sistem pengangkutan utama di bandar raya Johor Bahru dan merupakan pengangkutan berkesan dan efektif untuk diperluaskan kerana kosnya yang lebih rendah berbanding MRT.
Beliau berkata, kerajaan tidak perlu membina laluan baru khususnya membina laluan bertingkat atau terowong tetapi cukup dengan membina laluan khas bas di laluan sedia ada.
Abdul Ghani berkata, BRT sesuai digunakan dari Johor Bahru ke Iskandar Malaysia kerana ia lebih fleksibel serta mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat.
Katanya, sekiranya dua laluan yang dibuat itu berjaya, bas hibrid yang mesra alam tanpa perlu menggunakan diesel mahupun petrol dapat digunakan.
Kerajaan negeri memberi jaminan kesemua bas yang beroperasi akan mengikut kekerapan serta ketepatan masa perkhidmatan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.