Bugfest 2010 Johor Bahru yang berlangsung di kompleks beli-belah Sutera Mall di sini baru-baru ini berjaya menghimpunkan seramai 280 pemilik kereta Volkswagen dari seluruh negara.
Pameran selama tiga hari bermula 4 Jun lalu anjuran Kelab Pemilik Volkswagen Johor Bahru itu turut menampilkan tujuh penyertaan daripada negara luar iaitu masing-masing dua dari Hong Kong, Thailand dan Indonesia serta satu dari Singapura.
Presiden Kelab Volkswagen Johor Bahru, S. Bhasgaran berkata, pertunjukan tersebut yang diasaskan oleh Nash Nasihin Ali sejak 1993 merupakan acara tahunan yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pemilik kenderaan itu.
Pada hari pertunjukan, para peserta akan mempamerkan kereta jenis Volkswagen sama ada yang antik dan yang baru serta yang sudah diubah suai.
Bukan itu sahaja, bagi memeriahkan lagi Bugfest, penganjur turut mengadakan pelbagai kategori pertandingan.
Antaranya Volkswagen Tercantik (Klasik), Modifikasi Terbaik, Volkswagen Terbaik (Enjin Penyejukan Udara), VW Golf Terbaik, Sistem Bunyi Kereta Terbaik, Volkswagen Paling Kreatif dan lain-lain.
Namun, bagi setiap peserta bukan kemenangan yang dicari-cari kerana ia hanyalah bonus, tetapi semangat untuk berkumpul adalah lebih penting.
Bagaimanapun menurut Bhasgaran, pertunjukan itu terhenti sejak enam tahun lalu apabila pengasasnya meninggal dunia sebelum ia dianjurkan semula pada tahun ini.
''Kita mendapat banyak permintaan daripada peserta yang mahukan pertunjukan ini diadakan semula. Oleh itu kami berusaha untuk menganjurkannya semula.
''Berkat kesabaran dan kerjasama pelbagai pihak akhirnya pertunjukkan ini berjaya direalisasikan," katanya di sini baru-baru ini.
Jelasnya, pertunjukan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pelancongan Johor dan Iskandar Malaysia.
Bagi menambahkan kemeriahan perhimpunan itu Bhasgaran menambah, pelbagai acara sampingan turut diadakan termasuk pertandingan mencari harta karun mini, pertandingan mewarna, galeri Volkswagen dan kempen derma darah.
Menurut beliau, Bugfest pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Records pada 2001 dengan penyertaan sebanyak 420 buah kereta Volkswagen.
''Kita berharap agar penyertaan pada tahun hadapan akan bertambah dan dapat memecahkan rekod penyertaan terbanyak sebelum ini.
''Selain itu, kita mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak agar pertunjukan ini menjadi salah satu acara yang boleh menjadi daya penarik pelancong ke negeri Johor khususnya di bandar raya ini," katanya