Para peserta yang menyertai Bugfest 2010 Johor Bahru melahirkan rasa gembira apabila dapat bersama-sama menjayakan pertunjukan kereta Volkswagen pada tahun ini.
Ia amat bermakna bagi setiap peserta kerana penantian mereka selama ini akhirnya terlaksana memandangkan pertunjukkan itu tidak diadakan sejak enam tahun lalu berikutan pengasasnya, Nash Nasihin Ali meninggal dunia.
Seorang peserta, Rizal Ismail, 40, berkata, dia amat teruja untuk kembali menyertai acara berkenaan yang menghimpunkan ramai peminat dan pemilik kereta Volkswagen dari seluruh negeri termasuk peserta luar negara.
Beliau yang merupakan seorang penjual kereta dari Kota Bharu, Kelantan sanggup turun ke selatan tanah air bersama abang, Nazree, 50, adik, Syaharin, 37, dan tiga yang lain menaiki dua buah kereta Volkswagen semata-mata mahu menyertai perhimpunan itu.
''Bugfest merupakan medan bagi kami pemilik Volkswagen berkenalan, meng-eratkan hubungan dan bertukar-tukar pandangan tentang kereta.
''Pastinya acara ini amat kami nanti-nantikan pada setiap tahun dan kami tidak akan lepaskan peluang untuk menyertainya," katanya di sini baru-baru ini.
Bugfest Johor Bahru 2010 diadakan di kompleks beli-belah Sutera Mall di sini selama tiga hari bermula 4 Jun lalu.
Rizal yang memiliki kereta Volkswagen keluaran 1969 dengan nombor pendaftaran TA 9542 berkata, dia membeli kereta berkenaan pada 1986 daripada pemiliknya dengan harga RM3,000.
Katanya, meskipun kereta itu masih boleh digunakan, namun keadaan 'fizikal' yang uzur menyebabkan dia mengeluarkan kos sebanyak RM12,000 bagi baik pulih, namun masih mengekalkan ciri-ciri klasiknya.
''Sehingga kini saya telah membelanjakan kira-kira RM40,000 untuk kos penjagaan kereta ini dengan setiap 10 tahun sekali dilakukan baik pulih bagi memastikan kereta berada pada keadaan terbaik," katanya.
Menurutnya lagi, adiknya, Syaharin pula pernah suatu ketika memiliki enam buah kereta berkenaan, namun kini cuma mengekalkan dua buah iaitu keluaran 1969 dan 1972.
Syaharin yang pernah menyertai beberapa acara Bugfest di Thailand berkata, kereta Volkswagen adalah kereta pertama dimilikinya dan sehingga kini minat terhadapnya tidak pernah luntur.
"Kereta Volkswagen tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi serta sukar digambarkan keseronokan memandunya. Saya menggemari unsur-unsur klasiknya," katanya.
Jelasnya, sejak menyertai banyak pertandingan di perhimpunan Volkswagen, dia telah memperoleh lebih 20 piala yang disimpan di rumahnya termasuk yang paling berharga iaitu hadiah kategori 'Best of The Best'.
Bagi peserta warga emas, Ho Yang Kwang, 74, dari sini, dia pernah memiliki pelbagai jenis kereta, namun Volkswagen model 1956 dan 1974 yang dimilikinya kini tetap pilihan utamanya.
''Model 1956 saya jarang pakai kerana terlalu sayang dan ia dijaga dengan baik manakala untuk kegunaan harian saya menggunakan kereta lain.
''Bagi saya kereta Volkswagen mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dan akan saya mewariskan kepada anak saya nanti," katanya.