Pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd., (KTMB) di Singapura akan meningkatkan ekonomi Malaysia dan republik itu, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar hari ini.
Penilaian hartanah seluas 271 hektar itu sudah bermula dan akan selesai dalam tempoh sebulan, katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) di sini hari ini.
Ditanya sama ada penilaian itu akan berasaskan kadar pasaran Singapura, beliau berkata, ia dilakukan oleh penilai bebas dan setiap negara akan mengemukakan penilaian masing-masing.
"Ada angka yang disebut dan nyata, ia sangat besar. Perdana Menteri Lee menggunakan istilah besar," kata Azman merujuk kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menemui rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, di republik itu baru-baru ini.
Azman berkata, Khazanah dan cabang pelaburan Singapura, Temasek Holdings, sudah mengadakan pertemuan dan menubuhkan satu kumpulan kerja.
Isu tanah KTMB yang sudah lama tertangguh, yang menjejaskan hubungan dua hala selama dua dekad, akhirnya selesai apabila kedua-dua Perdana Menteri bersetuju supaya Khazanah dan Temasek bersama-sama membangunkan tanah itu dengan ekuiti 60-40 menerusi syarikat bersama M-S Pte Ltd., yang akan ditubuhkan menjelang 31 Disember ini.
Azman melihat usaha itu sebagai "pencapaian penting" bagi kedua-dua negara selepas perbincangan berhati-hati sejak dua tahun lepas, terutama sepanjang 12 bulan lalu.
"Kita mesti memperakui bahawa ia merupakan perkara yang positif, kejayaan yang sangat penting. Ia bukan seperti saya menang, anda kalah, kita sama sama menang. Jika diteliti, pertukaran itu adil, ia sangat baik," katanya.
Beliau tidak menjangkakan isu penilaian itu akan menjejaskan cadangan pembangunan hartanah KTMB termasuk stesen kereta api Tanjong Pagar yang akan dipindahkan ke Woodlands, di utara Singapura, menjelang 1 Julai tahun depan.
"Kami perlu melihat penilaian kedua-dua pihak. Hasratnya untuk bergerak ke depan," kata Azman yang berharap perkara itu akan dimuktamadkan apabila Hsien Loong melawat Malaysia pada 24 Jun depan.
Beliau berkata, penilaian sudah dilakukan sebelum ini dan ia kini dikemaskinikan.
Mengenai tanah KTMB yang akan dimajukan itu selain tanah gantian di Marina South dan Ophir Rochor, Singapura, Azman berkata, ia merupakan opsyen dalam perjanjian itu.
Beliau menjangkakan peningkatan ekonomi untuk kedua-dua negara, termasuk pelaburan rentas yang akan melihat ketampakan Malaysia di Singapura dan sebaliknya, terutama wilayah Iskandar Malaysia di Johor.
Hubungan sistem transit antara Tanjung Puteri di Johor dengan Singapura akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua Tambak Johor terutama kira-kira 80,000 rakyat Malaysia yang menggunakannya setiap hari untuk bekerja di Singapura.
"Syarikat kita mula menjadi syarikat serantau dan mereka akan berada pada kedudukan di pusat serantau seperti Singapura dan pada masa yang sama, syarikat-syarikat Singapura berpindah ke Iskandar. Kesemuanya merupakan pelengkap, itu yang penting," kata Azman