Kita rugi jika tidak selesai
PERSETUJUAN antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong mengenai Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) masih hangat diperkatakan. Ada yang menganggap ia adalah langkah terbaik dan bijak kerana berjaya menyelesaikan isu tertangguh sejak dua dekad lalu. Namun, ada juga yang bersuara dan menganggap ia dilakukan secara tergesa-tega. Bernarkah begitu? Untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai isu itu wartawan Mingguan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH, SAHBULAH DARWI dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI menemu bual Menteri Besar Johor, DATUK ABDUL GHANI OTHMAN di kediaman rasminya di Saujana semalam.
MINGGUAN: Banyak pihak melihat persetujuan dalam perjanjian ini terlampau mengejut dan dibuat tergesa-gesa. Boleh Datuk jelaskan apa yang berlaku?
ABDUL GHANI: Mungkin kali pertama masyarakat umum didedahkan dengan satu perjanjian yang dibuat pada 20 tahun lalu iaitu pada 1990 antara Malaysia dan Singapura. Jadi yang memberi satu tafsiran bahawa perjanjian yang perlu dipenuhi dan dirumuskan telah pun di hadapan kedua-dua negara selama 20 tahun. Dan tahun yang efektif untuk melaksanakan sebahagian daripada perkara-perkara yang dipersetujui itu adalah pada 2011.
Jadi, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif untuk mengambil semula perjanjian 20 tahun lalu yang diwarisi olehnya untuk dirumuskan secara muktamad pada menjelang 2011. Tapi soalannya, kenapa perjanjian itu orang tak tahu selama 20 tahun? Memang betul itu ayat saya yang pertama. Jadi saya tidak hairan mengapa masyarakat umum tidak maklum tentang perjanjian 20 tahun lalu antara kedua-dua negara
Dari segi kerajaan dengan kerajaan, apakah asas di pihak kita untuk bersetuju dengan perjanjian itu?
ABDUL GHANI: Asasnya adalah bermula daripada satu persetujuan sejak 1918 lagi, di mana tanah kereta api di Singapura adalah tanah yang diperuntukkan untuk kegunaan kereta api saja. Dan kita maklum bahawa pajakan tanah itu tempohnya agak panjang, selagi ada kereta api di tapak-tapak tersebut, maka selagi itulah tanah-tanah untuk digunakan kereta api.
Bermakna bahawa apabila kereta api tidak berfungsi di tapak tersebut, maka perjanjian 1918 mengatakan bahawa tanah diserahkan balik kepada Singapura. Jadi, persetujuan POA adalah untuk kereta api mengosongkan Tanjung Pagar dengan persetujuan bahawa Tanjung Pagar dibangunkan secara bersama.
Kalau dibangunkan secara bersama dengan pegangan ekuiti 60-40, apakah perancangan dan bentuk pembangunan di kawasan berkenaan?
ABDUL GHANI: Di tapak-tapak kereta api, cirinya bertaburan, satu di Tanjung Pagar, sebahagian di Bukit Timah, di Kranji dan di Woodlands. Kemudian dalam POA itu diperuntukkan apa jenis pembangunan yang boleh dibuat di Tanjung Pagar. Itu jelas dalam POA, apa yang boleh dibangunkan di tapak-tapak berkenaan.
Misalnya di Tanjung Pagar seluas 18 hektar, kawasan itu dizonkan sebagai perumahan. Cadangan kegunaan tanah tersebut untuk tujuan komersial, perdagangan, lot kedai, pejabat dan sebagainya pada plot ration yang ditentukan. Kita tidak akan membangunkan tanah itu sebab digantikan tanah lain. Tetapi kita nak tengok juga, bila kita kata tak hendak bangunkan tanah ini sebab ada tanah ganti, kita nak tengok dia punya syaratnya diubah tak?
Itu negeri dia. Macam saya Menteri Besar, itu tanah untuk ini tapi bila dah jadi tanah kerajaan Johor kita ubah supaya lebih banyak gunanya. Tetapi dalam POA adalah jelas, dia digunakan untuk tujuan komersial pada plot ration yang dipersetujui sehinggakan keluasan yang boleh dibangunkan itu pun disebut pada keluasan meter persegi tertentu, tak payah sebut di sini terlalu terperinci.
Sebahagian yang lain, tiga ekar (1.2 hektar) boleh digunakan untuk komersial dan sebahagian lain untuk perumahan. Turut disebut sebanyak 2,000 unit rumah boleh dibina. Maksud saya, point amat penting, apabila syarikat usahasama M-S Pte. Ltd. nak bangunkan Tanjung Pagar dia dah sebut apa hendak dibangunkan di situ. Jadi, kalau kita nak beralih ke tempat yang ditawarkan, dia kata mungkin nanti saya dah bebas, mungkin nilai sudah tinggi. Agaknya begitulah, tapi kita nak tengok juga, mungkin dia tak buat begitu.
Ada peruntukan yang membolehkan kita mengambil sebarang tindakan jika mereka ubat syarat?
ABDUL GHANI: Bila dia beri tanah ganti yang memang tinggi nilainya, dia kata Malaysia akan nilaikan tanah kereta api berdasarkan syarat-syarat pembangunan tadi. Malaysia nilaikan tanah yang ditawarkan, jadi apa dipanggil tukar ganti hendaklah padan dengan harganya. Jadi, kegunaan tanah ini akan menentukan nilai tanah kereta api ini.
Jadi berdasarkan kepada apa yang ada dalam perjanjian, apa yang boleh digunakan di tanah tersebut, maka akan dinilaikan berdasarkan kepada peruntukan syarat pembangunan di tanah-tanah tersebut. Ia akan digunakan untuk tanah ganti yang juga dinilai. Ini penting, apa yang kita tahu, nilainya lebih kurang sama. Mungkin nilai yang kita buat di tanah kereta api ini kita buat lebih kurang dua tiga bulan lalu, tapi dua tiga bulan lalu, di tanah yang ditawarkan itu boleh naik harga sampai 10 hingga 15 peratus. Dalam masa dua tiga bulan ini memang meningkat kerana ekonomi sudah pulih. Itu sahaja bezanya.
Boleh Datuk jelaskan dalam Railway Transfer Ordinance 1918, pajakan tanah KTMB selama 999 tahun. Bila kita bersetuju dengan POA, kita dapat tanah yang nilainya lebih besar. Di situ sudah ada keuntungan. Adakah statusnya pajakan atar freehold?
ABDUL GHANI: Dalam perjanjian pun dikata kalau dibangunkan di situ dalam bentuk freehold bermakna sepatutnya tanah ganti pun freehold.
Dalam POA ini kalau dibangunkan secara bersama ia adalah freehold.
Ada persepsi, apabila stesen KTMB berpindah dari Tanjung Pagar ke Woodlands, ada yang menganggap Singapura seperti ingin mengusir kita dari itu. Komen Datuk.
ABDUL GHANI: Ia bermula berpindah dari Tanjung Pagar pada 2011. Antara cadangan POA berpindah terlebih dahulu ke Bukit Timah dan selepas itu disebut juga selepas lima tahun maka boleh berpindah ke Woodlands. Jadi, kita berpendapat bahawa kalau berpindah berperingkat begini, maka ia memerlukan perbelanjaan untuk membangunkan stesen yang baru di Bukit Timah ataupun di Kranji walhal kita juga maklum dalam tempoh lima tahun mungkin boleh berpindah ke Woodlands.
Jadi soal takrifan bahawa kereta api perlu keluar secepat mungkin tidaklah tepat yang pada akhirnya persetujuan dalam POA ini ialah untuk kita tidak perlu berpindah ke Bukit Timah atau mungkin di tempat lain seperti di Kranji tetapi terus ke Woodlands. Kerana dalam tempoh dijangka selama lapan tahun yang terdekat ini jika perpindahan berlaku terus ke Woodlands, maka ini akan memudahkan pelaksanaan sistem perhubungan pantas antara Singapura dan Johor Bahru.
Jadi, kita mengambil kesempatan sepenuhnya sempena dengan perpindahan ke Woodlands itu dengan membangunkan sistem perhubungan pantas Singapura-Johor Bahru. Bermakna dalam masa lapan tahun itu, cukup untuk perancangan teliti dan ke arah mereka bentuk dan teknologi yang sesuai untuk mewujudkan sistem perhubungan pantas (RTS) dari Woodlands ke Johor Bahru.
Kebanyakan penjelasan POA 1918 dan 1990 tak berapa jelas menyebabkan tanggapan orang ramai kita menyerahkan tanah kepada Singapura sewenang-wenangnya. Ini sentiment dan apa pandangan Datuk?
ABDUL GHANI: Kalau POA tak diselesaikan, bahawa perkara itu akan berlarutan sebagai masalah yang terpaksa dipikul secara berlarutan oleh kedua-dua belah pihak. Perjanjian yang tak dapat di muktamadkan. Ia tergantung.
Datuk Seri Najib hendak menyelesaikan perkara ini dengan cara yang paling terbaik. Beliau terikat dengan perjanjian (dulu). Apa penyelesaian terbaik, itu yang beliau (Najib) dapat lakukan. Itu sebab disebut POA++, kalau POA sahaja, (yang asal dulu) kita terhad kepada pembangunan bercampur-campur, ada yang tempat buang sampah ada tempat industri di Kranji dan banyak setinggan. Apa nak barigun kawasan industri? Apa dapat? Kranji kawasan industri, Woodlands kawasan hiburan seperti panggung wayang, pusat boling, restoran, gelanggang tenis. Jadi kalau kira tak selesaikan, maka kita akan rugi
Kalau masih gagal diselesaikan, apa akan jadi kerana perjanjian itu berakhir 2011?
ABDUL GHANI: Kalau tak selesai, Singapura ambil alih Tangjung Pagar. Kita kene lari dari Tanjung Pagar kerana perjanjian sudah habis 2011. Singapura ambil alih, kita kena cabut dari situ bila perjanjian selesai.
Tapi kalau saya orang Singapura, saya akan merayu kepada Malaysia, tolonglah pergi. Takkan negeri saya terpecah dua begitu. Tengok jurutera dulu juga buat pecahkan Stulang dengan Pantai Lido. Itu contohlah, sampai orang Stulang tak boleh pergi ke Pantai Lido sehingga terpaksa berpusing ambil jalan lain melalui bandar untuk ke Pantai Lido.
Bagi orang Johor, dalam POA yang dipersetujui itu, kita mahu stesen KTMB berpindah ke Johor Bahru di tapak 210 ekar (84 hektar) di Kempas yang diyakini akan menjadi bandar baru di situ termasuk stesen kereta api yang mungkin dapat menampung bukan saja kereta dari utara tetapi juga kereta api laju dan kereta api dari benua China.
Kita mencadangkan begitu dan bermakna kereta api 2018 boleh berpindah ke Kempas. Itu adalah untuk orang Johor. Dalam POA mereka bersetuju, ada ayatnya, dalam perjanjian asal pun ada, dalam perjanjian minggu lalu pun ada bahawa ada pilihan untuk berpindah.
Secara tidak langsung RTS ini mampu melegakan kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru?
ABDUL GHANI: Satu ialah dalam konteks pertumbuhan pesat dalam wilayah ekonomi perlu sistem perhubungan yang lebih efisien dan pantas sama ada untuk mereka sebagai pekerja atau pengunjung. Sistem perhubungan pantas ini, apabila ia disambut pula dengan sistem MRT di Singapura atau sistem perhubungan yang lebih efisien di Iskandar Malaysia dalam bentuk sama ada sistem Metro Iskandar, MRT atau sistem Bas Rapid Transit (BRT). Maksud saya ialah hubungan menyeberang Selat Johor itu perlu disambut, sebab di sana dah ada MRT, di sebelah kita perlu disambut dengan sistem sama ada Metro Iskandar, MRT atau BRT. Maka ia akan mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien dalam wilayah ini. Kalau ia mati di Tanjung Puteri, tak guna juga. Jadi kita mesti bangunkan sendiri. Tapi itu sebabnya, satu perkara mengapa saya guna BRT, itu dalam perancangan untuk pelaksanaan segera. Dalam masa dua tahun sebahagian BRT akan dilaksanakan, maknanya kita boleh naik bas dalam masa tujuh minit bas akan ada di stesen yang berkenaan.
Kedua-dua pihak bersetuju M-S Pte. Ltd. membangunkan secara bersama kawasan tanah digantikan. Pembangunan di kawasan itu telah ditetapkan?
ABDUL GHANI: Malaysia telah diberi taklimat lokasi tanah ganti itu, sama ada di tengah bandar raya Singapura di jalan Rochor dan Jalan Ophir di mana letaknya satu padang hijau sekarang ini dan Marina South terdapat empat keping tanah di situ lokasi. Pihak Malaysia telah dijelaskan dan ia boleh dibangunkan, dilaksanakan secara jelas di situ. Dan apabila kita melihat pembangunan di sekeliling di tapak-tapak itu, maka dia boleh menjadi pembangunan yang dipercayai begitu tinggi potensinya dan boleh menjadi projek ikonik di tapak-tapak yang berkenaan.
Saya nak sebut memang dijelaskan di situ, ia untuk projek komersial dan residential apartment. Marina untuk komersial, Jalan Ophir dan Jalan Rochor adalah komersial dan residential.
Satu perkara yang perlu dijelaskan kepada rakyat adalah kononnya apabila Singapura mendapat semula tanah KTMB di Tanjung Pagar, seolah-olah Malaysia sudah hilang kedaulatan. Komen Datuk?
ABDUL GHANI: Kalau awak orang Singapura, kereta api dari segi nilainya tak seberapa, tetapi dengan adanya kereta api itu ia pecahkan pulai itu kepada dua. Kalau saya pun orang Singapura, kalau boleh kereta api itu keluarlah, takkan negeri saya pecah dua, landasan kereta apai di tengah-tengah pulau saya.
Tapi kalau kereta api ada situ pun, kenapa soal kita nak samakan kedaulatan dengan kegunaan kereta api? Macam itu? Dari segi nilai, maknanya kalau nak jaki (dengki) dia, kita teruslah di situ, kata orang putih spite them, sampai selagi ada bulan dan bintang engkau kena terima aku di situ!
Yang disebut Perdana Menteri baru-baru ini, kata kedua-dua negara hendak buat projek ikonik?
ABDUL GHANI: Itu lain, itu dipersetujui dua Perdana Menteri di Iskandar Malaysia, tapi reka bentuk di dua tapak yang digantikan satu bentuk ikonik juga.
Di Iskandar Malaysia itu lain, ia projek yang dicadangkan tahun lalu, dan disebut dalam POA untuk dilaksanakan. Kita harap pada 2011, maka projek ini akan mula dilaksanakan. Pada 2010 untuk perancangan projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh dua syarikat kerajaan iaitu Khazanah dari Malaysia dan Temasek dari Singapura di kawasan Iskandar Malaysia.
Ada tiga tapak yang dicadangkan pada keluasan 500 ekar (200 hektar) iaitu sebuah bandar perubatan yang memberi pelbagai kemudahan perubatan. Oleh kerana ia pada keluasan yang agak besar, 500 ekar, maka banyak elemen yang akan dimuatkan dalam bandar ini.
Mengenai perjanjian air dalam POA. Boleh Datuk jelaskan kerana selalunya Singapura susah henda beri secara percuma, tetapi sekarang sanggup beri secara gratis?
ABDUL GHANI: Menerusi Perjanjian 1991 memberi mereka menggunakan loji air di Skudai dan Tebrau dan empangan air di Gunung Pulai yang akan tamat pada 2011. Dalam perjanjian tersebut, memang dipulangkan kepada Johor tetapi agak terbuka tentang cara hendak dipulangkan kerana di Loji Tebrau dan Skudai dan asas-asas yang dibangunkan dalam keadaan baik dan ada juga peruntukan tanah-tanah di loji dan empangan ini adalah tempoh pajakan yang agak begitu panjang. Hampir 999 tahun.
Jadi apabila PM Hsien Loong akan dipulangkan tepat pada masanya secara percuma, ia memudahkan pelaksanaan perjanjian 1961.
Sebelum ini sudah ada beberapa mesyuarat aset-aset yang hendak dipulangkan itu. Pihak kita juga terasa dia nak beri nilai kepada aset itu, tetapi bila dia umumkan secara percuma maka merumuskan secara muktamad perundingan yang berkaitan soal aset dan nilai-nilai aset yang hendak dipulangkan.
Bagaiman dengan perjanjian air yang kedua?
ABDUL GHANI: Ini tidak disentuh. Dalam perjanjian 1992, Singapura dibenarkan mengambil air pada kuantiti 250 juta gelen sehari, maka masalah tak berbangkit. Tetapi pada bulan-bulan awal 2010 berlaku kemarau apabila loji Singapura tidak dapat bekalan secukupnya. Masalahnya ialah kemarau menyebabkan air sungai telah diserap dengan air laut. Jadi, tekanan air laut lebih kuat daripada air sungai semasa kemarau dan apabila air laut masuk, Singapura tak dapat bekalan 250 juta gelen sehari.
Dalam perbincangan, Johor dan Singapura bersetuju untuk mengkaji membuat benteng di Sungai Johor yang boleh menyimpan air sungai dan menyekat serapan air laut. Kos pun Singapura setuju, tapi harga air tidak dibincangkan.