Kerajaan negeri cadang lokasi 84 hektar di Kempas apabila operasi berpindah dari Singapura
JOHOR paling ketara menerima kesan fizikal daripada kesepakatan Malaysia dan Singapura merungkai kekusutan dalam Perjanjian Capai Persetujuan (Points Of Agreement) 1990 mengenai penyerahan tanah KTM Berhad (KTMB) di Keppel Road, Tanjong Pagar. Serta-merta tumpuan kini beralih ke Johor Bahru kerana di situ akan ‘berkampung’ stesen KTMB selama-lamanya mulai 2018.
POA 1990 ditandatangani antara Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin, dengan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew. Ia menyatakan KTMB perlu mengosongkan stesen di Tanjong Pagar pada 2011 dan berpindah ke Bukit Timah bagi membolehkan tanah itu dibangunkan bersama.
Bagaimanapun, melalui POA 1990 dipertingkatkan (POA + dan POA ++) yang dipersetujui Datuk Seri Najib Razak bersama rakan sejawatan, Lee Hsien Loong, di Singapura pada 24 Mei lalu, pemindahan stesen KTMB ke Bukit Timah hanya berlaku di atas kertas kerana secara fizikal ia terus ke Woodlands menjelang menjelang 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor Bahru pada 2018.
Walaupun POA 1990 membabitkan kerajaan kedua-dua negara, kini peranan melaksanakan kesepakatan melalui syarikat usaha sama M-S Ptd Ltd turut membabitkan pihak ketiga dan keempat iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Temasek Holdings Limited (Temasek).
Sesi perbincangan dan perancangan mengenai penubuhan M-S Pte Ltd itu perlu selesai menjelang 31 Disember 2010.
Namun, kehadiran Johor tidak boleh dinafikan, selain peranan KTMB sendiri dan Wisma Putra, dalam menjayakan keseluruhan pakej perjanjian itu yang ternyata mencerminkan pemikiran baru kepimpinan Najib.
Selain landasan KTMB akan tamat di Johor Bahru, perkembangan terbaru dalam POA, POA + dan POA ++, minggu lalu turut merangkumi empat perkara membabitkan peranan Johor iaitu pembangunan bersama sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tangjung Puteri, Johor Bahru dengan stesen MRT Republik di Woodlands.
Laluan baru itu membabitkan jarak kira-kira dua kilometer melalui terowong bawah tanah merentasi Selat Tebrau, yang dijadualkan siap pada 2018.
Kedua, Lembaga Perbekalan Awam (PUB) Singapura menyerahkan asetnya di Loji Skudai dan Empangan Gunung Pulai yang masih dalam keadaan baik kepada Johor secara percuma apabila Perjanjian Air 1961, tamat 31 Ogos 2011.
Perkata ketiga, keperluan logistik menyediakan hentian dan kemudahan awam apabila khidmat bas rentas sempadan dipertingkatkan, manakala peraturan khidmat teksi dilonggarkan.
Pastinya, tajuk mengenai penyertaan pelabur Singapura di koridor Iskandar Malaysia bukan dalam pakej perbincangan POA 1990 tetapi kesediaan republik itu membantu memainkan peranan sangat berkait rapat dengan penyelesaian isu tanah KTMB.
Komitmen Singapura dibuktikan dengan kesediaan Temasek menubuhkan syarikat usaha sama dengan keseimbangan ekuiti 50:50 dengan Khazanah untuk melaksanakan projek ikonik bandar perubatan mega di tapak 200 hektar di Iskandar Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, ketika ditemui di kediamannya di Saujana, Johor Bahru semalam, berkata kerajaan negeri mencadangkan stesen baru KTMB dibangunkan di lokasi seluas 84 hektar miliknya di Kempas, kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru.
Beliau berkata, stesen baru itu akan dimajukan mengikut perancangan pembangunan Koridor Ekonomi Iskandar Malaysia melalui Flagship A (Bandar Raya Johor Bahru) yang turut membabitkan penyertaan swasta.
“Bayangkan pembangunan KL Sentral seluas 16 hektar berjaya merubah Brickfields.
“Inikan pula kita ada 84 hektar untuk memuatkan segala keperluan sebagai stesen utama dengan mengaitkan potensi projek kereta api dari Kunming, China serta projek kereta api laju dari Kuala Lumpur.
“Oleh demikian, pelaburan yang terpaksa dibuat (jika KTMB kekal) di Singapura sama ada di Bukit Timah atau Kranji, boleh digunakan untuk pembangunan yang terbaik untuk stesen di Kempas.
“Anda boleh bayangkan sebuah lagi bandar yang boleh dibangunkan di atas tanah (di Kempas) itu,” katanya.
Ghani berkata, menjelang 2018, kerajaan mempunyai masa secukupnya untuk merancang pembangunan RTS menghubungkan Tanjung Puteri dengan Woodlands yang akan dimajukan secara usaha sama.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, yang menyertai delegasi Najib ke Singapura tempoh hari, berkata pelan mempertingkatkan perhubungan antara kedua-dua negara melalui jalan darat khususnya pengangkutan bas dan teksi serta RTS turut dilaksanakan.
“Saya yakin pelaksanaan pelan itu akan meningkatkan tahap mobilisasi merentasi sempadan pada kadar yang signifikan dan memberi manfaat bukan saja kepada rakyat malah ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
Mengenai focus mengoptimumkan Linkedua, Ong berkata, ia akan meringankan kesesakan di Bandar Raya Johor Bahru, selain insentif kepada rakyat menggunakan laluan itu dan meringankan kos mereka.
Pada masa sama, kerajaan disaran memberi penjelasan terperinci butiran PAO 1990, POA + dan POA ++ kepada rakyat supaya lebih faham, jelas dan tiada syak waksangka.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata penjelasan mengenai perjanjian itu perlu kerana banyak usaha yang cuba dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara sering menemui kegagalan kerana terdapat ‘serangan’ dari dalam.
“Keadaan ini turut menghilangkan keyakinan pelabur ke negara ini. Kita yakin setiap keputusan kerajaan akan tetap dipertikai dan diputarbelitkan pembangkang. Tetapi, kita mahu rakyat menolaknya kerana ia boleh menggagalkan usaha ini,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mencadangkan penjelasan itu dilakukan di Parlimen bagi membolehkan penggubal perundangan memikirkan secara bersama mengenai baik dan buruknya POA + dan POA ++, apakah lagi kesannya kepada rakyat Malaysia.
Mengenai M-S Ptd Ltd yang akan memajukan tanah KTM di Singapura, adalah diharapkan peluang perniagaan diagihkan kepada lebih ramai usahawan Bumiputera dan jangan ada segelintir pihak yang mendapat manfaat ini.
“Wakil Khazanah mesti diterajui individu yang mempunyai kecekapan dalam urus tadbir, berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang berkenaan,” katanya.