Cadangan agar projek pembinaan Jambatan Bengkok dikaji semula disambut dengan pelbagai reaksi oleh pakar-pakar ekonomi namun rata-ratanya menyokong ia diteruskan.
Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, rundingan antara kerajaan Malaysia dengan Singapura perlu diadakan bagi mengkaji semula projek jambatan tersebut sama ada dibina semula atau dimansuhkan terus.
Jelasnya, perundingan di antara kedua-kedua negara membolehkan situasi menang-menang dicapai dan akhirnya akan memanfaatkan semua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, dari segi ekonomi, kewujudan projek itu amat baik kepada pembangunan Malaysia terutama untuk kemajuan selatan negara ini.
"Lantaran itu, projek itu perlu dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti perdagangan di Johor.
"Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu-isu lama di antara Malaysia dan Singapura ini menyebabkan kemungkinan besar projek pembinaan Jambatan Bengkok akan dapat direalisasi semula," katanya apabila dihubungi oleh Utusan Malaysia semalam.
Projek pembinaan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor telah dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2006 atas perkiraan ia menelan belanja besar iaitu RM2.379 bilion.
Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad meminta kerajaan menggunakan kelebihan hubungan dua hala yang erat Malaysia-Singapura untuk meneruskan semula projek tersebut.
Jelasnya, ini kerana idea pembinaan jambatan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap relevan dan amat penting untuk diteruskan kerana akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa depan.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari firma Fundsupermart.com, Koay Yi Chuan percaya projek berkenaan akan dikaji semula.
Beliau turut menjangka pelbagai idea lain akan dicetuskan oleh Malaysia dan Singapura demi kebaikan bersama.
"Lagipun kedua-dua pucuk pimpinan Malaysia dan Singapura bersetuju membangun dan memperkembangkan Iskandar Malaysia di Johor.
"Lantaran itu, ia mempunyai kemungkinan projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) akan diadakan di antara kedua-dua negara ini," katanya.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh tidak setuju dengan cadangan melaksanakan semula projek jambatan tersebut.
Katanya, ekonomi di negara ini sedang bergerak dengan baik, maka projek jambatan tersebut yang merupakan salah satu komponen fiskal tidak sesuai dijalankan pada masa ini.
"Projek jambatan ini akan memberi rangsangan yang baik apabila ekonomi sedang merosot kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan ketika itu.
"Tetapi, kini ekonomi Malaysia sedang bergerak dengan baik. Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih memfokuskan kepada usaha memantapkan pembangunan berbanding melaksanakan projek gergasi yang tidak pasti keuntungannya," katanya.
Tambahnya, beban hutang kerajaan termasuk RM30 bilion kepada Bank Komanwel menyebabkan Malaysia ketika ini tidak lagi mampu untuk menanggung hutang lain termasuk untuk projek pembinaan jambatan tersebut.
"Kalau kerajaan melaksanakan projek jambatan ini, hutang negara akan meningkat kepada lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Ia akan membawa kesan negatif yang besar kepada negara. Oleh itu saya rasa ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang," katanya.