Projek mega di Iskandar Malaysia babit kawasan 200 hektar
SEBUAH syarikat usaha sama membabitkan pegangan ekuiti 50:50 akan diwujudkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings Ltd untuk membangunkan projek ikonik perbandaran mega di Iskandar Malaysia, Johor.
Dalam kenyataan bersama Datuk Seri Najib Razak dan Lee Hsien Loong semalam, kedua-dua Perdana Menteri itu setuju projek berkenaan dilaksanakan dalam masa setahun membabitkan kawasan seluas 200 hektar.
Penyertaan Singapura dalam kerjasama dua hala projek ikonik itu disebut dalam kertas cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Bersama Kementerian (JMC) Mengenai Iskandar Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan serta kemudahan di Iskandar Malaysia.
Kedua-dua pemimpin berkenaan turut melihat keperluan sektor swasta kedua-dua negara menyertai pembangunan koridor pembangunan ekonomi itu yang membabitkan 2,217 kilometer persegi dan memerlukan pelaburan sehingga RM47 bilion sepanjang tempoh pembangunan hingga 2025.
Pengumuman semalam adalah perkembangan nyata selepas idea projek itu diilhamkan ketika lawatan rasmi Najib ke Singapura susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, awal tahun lalu.
Pada sidang media bersama, Najib dan Lee mengulangi sokongan mereka untuk menjayakan projek ikonik berkonsepkan bandar kesihatan itu yang dicadangkan oleh JMC, yang akan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan menyeluruh.
Bandar terbabit akan direka bentuk supaya memiliki ciri kecergasan, budaya yang ketara namun harmoni sosial dan mesra alam.
Ciri unik projek itu ialah ia akan menggabungkan kesihatan dalam aktiviti di seluruh bandar itu, selari dengan penyepaduan kaedah penyembuhan tradisional, perubatan alternatif pelengkap dan rawatan moden.
Perbincangan kedua-dua pihak turut menemukan persetujuan Singapura untuk menyerahkan loji air di Sungai Tebrau yang dibina berdasarkan perjanjian air kedua-dua negara pada 1960 dan tamat 2011, secara percuma kepada pihak berkuasa air Johor.
“Penyelesaian isu Perjanjian Capai Persetujuan (POA) ini akan mempertingkatkan perhubungan sedia dan aliran pergerakan penduduk diikuti dengan pelaburan, barangan serta perkhidmatan,” kata kedua-dua Perdana Menteri.
Dalam sektor pelancongan, kedua-dua negara bersetuju melihat kemungkinan mewujudkan produk pelancongan eko berkembar.
Kedua-dua negara juga bersetuju kongsi pengalaman dan kerjasama mendalam dalam rancangan pembersihan sungai.