Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk membersihkan Sungai Segget di tengah pusat bandar raya ini bagi menjadikannya ala Venice, Itali.
Perdana Menteri yang mengadakan tinjauan mesra selama dua jam dengan berjalan kaki untuk beramah mesra di tengah pusat bandar raya ini termasuk merasmikan Pasar Karat berkata, peruntukan berkenaan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pusat.
"Kita akan serahkan kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk menjalankan kerja pembersihan ini bermula dengan mengatasi masalah kumbahan yang mengakibatkan pencemaran di sungai ini.
"Selepas itu, saya sudah membayangkan gondola akan berada di Sungai Segget seperti di Venice dan ia pasti menjadi tumpuan pelancong asing dan dalam negara," katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada 5,000 orang ramai yang membanjiri tengah pusat bandar ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mendapat taklimat mengenai pelan pembangunan pusat bandar raya Johor Bahru daripada Abdul Ghani petang tadi.
Beliau berkata, pelan transformasi pusat bandar raya Johor Bahru akan turut membabitkan pembinaan pintu ikonik di Tambak Johor dan beberapa pembangunan lain yang akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Rombongan Perdana Menteri sebelum itu turut melawat Muzium Tionghua di Jalan Ibrahim sebelum berjalan kaki ke Bazar JB untuk merasmikan Pasar Karat yang menempatkan lebih 450 peniaga.
Beliau kemudian menikmati minuman teh tarik di sebuah restoran India dan melawat kuil India yang berada di tengah pusat bandar raya.