Sebanyak 1,500 unit pangsapuri kos rendah akan disediakan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di Iskandar Malaysia menerusi Projek Perumahan Iskandar Malaysia (Primas), pertengahan tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rumah selesa untuk disewa oleh mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan itu, kini dalam pembinaan di atas tapak seluas 24 hektar di sini.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 40 buah rumah direka khas untuk orang kurang upaya (OKU) yang terletak di tingkat bawah setiap blok pangsapuri berkenaan.
"Projek perumahan Iskandar Malaysia ini bakal meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk setempat terutama golongan yang kurang mampu untuk membiayai aset rumah sendiri," katanya ketika melawat tapak perumahan awam berkenaan, di sini hari ini.
Najib berkata, Primas merupakan projek perumahan awam yang menyokong konsep komuniti prihatin 1Malaysia melalui pembiayaan rumah bersubsidi untuk golongan berpendapatan rendah.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata, sebuah syarikat khas (SPV) harus ditubuhkan bagi menguruskan kegiatan di kawasan perumahan awam termasuk aktiviti kemasyarakatan untuk penduduk setempat selain melaksanakan penyelenggaraan secara sistematik dan rapi.
"Perumahan Iskandar Malaysia adalah projek perintis yang menjadi panduan utama untuk projek perumahan awam Iskandar Malaysia pada masa akan datang.
"Ini penting untuk memastikan tiada penduduk sekitar mendiami rumah subpiawai dan menjalani persekitaran hidup kurang sihat," katanya lagi.