PASIR GUDANG: Kira-kira 80 penduduk yang dikategorikan miskin dan miskin tegar berpeluang mengubah nasib mereka menjadi lebih baik apabila menyertai Hari Terbuka Program 1Azam Iskandar Malaysia yang diadakan di Hotel Selesa, di sini.
Program 1Azam yang diadakan bertujuan menyediakan peluang untuk menjana pendapatan kepada golongan miskin tegar dan miskin yang berada dalam senarai e-Kasih membabitkan tujuh kawasan iaitu Mukim Plentong, Sungai Tiram, Tebrau, Pulai/Jelutung, Bandar dan Tanjung Kupang yang berada bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pejabat Daerah Johor Bahru.
Usaha Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Pembangunan Iskandar (Irda) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Johor Bahru dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan golongan sasaran mendapat pembelaan sewajarnya bagi membolehkan mereka yang terbabit dapat meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing.
Pengasuh kanak-kanak, Zaleha Teh, 29, berkata program yang diadakan itu dapat memberi peluang kepada golongan miskin menambah pendapatan supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dengan bantuan kemahiran dan pengetahuan melalui sesi penerangan yang disampaikan oleh agensi kerajaan yang terbabit.
“Saya bercadang menyertai bidang perniagaan dengan menjual makanan nasi campur dengan mendaftar dalam program Azam Niaga memandangkan saya mempunyai pengalaman dalam perniagaan kecil-kecilan.
‘Banyak pengetahuan seperti cara untuk menjana pendapatan melalui perniagaan dapat dipelajari melalui program ini,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berazam untuk memastikan anaknya tidak mewarisi kesempitan hidup seperti dihadapinya.
Ibu tunggal dua anak, Supatmihanton Kasmin, 55, berkata program itu berguna kepada memberi pendedahan terhadap peluang yang disediakan agensi kerajaan bagi membolehkan peserta meningkatkan kemahiran jangka pendek yang memberi peluang peserta untuk mengubah nasib hidup mereka.
“Kini, saya melakukan pelbagai kerja sambilan seperti mengambil upah menjahit baju dan menyediakan sarapan pagi tanpa menyertai sebarang kursus teratur.
“Saya berharap dapat mengikuti kursus jahitan dan kursus membuat air tauhu supaya dapat meningkatkan kemahiran sekali gus menambah pendapatan,” katanya yang berazam mendaftarkan diri dalam program Azam Niaga.
Masyarakat Orang Asli, Tan Joo Dee, 36, berkata program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf hidup bersesuaian dengan perkembangan semasa yang memerlukan kemahiran jika ingin keluar daripada kemiskinan.
“Disebabkan saya menetap di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, saya berhasrat menyertai program Azam Tani yang dikelolakan oleh Irda melalui Jabatan Pertanian,” katanya.
Program 1Azam yang dianjurkan Irda mengandungi empat jenis peluang yang diberikan kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan melalui Azam kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat yang merangkumi 21 jenis peluang pekerjaan.
Terdahulu, Ketua Pembangunan Sosial Irda, Nor Hisam Hussin menyampaikan ucapan dengan berharap program itu dapat memberi kesedaran dan menyuntik semangat peserta untuk bertekad mengubah nasih hidup mereka melalui peluang yang diberikan oleh agensi kerajaan terbabit.