Sektor bioteknologi Malaysia kini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan sasaran sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diyakini mencapai 2.5 peratus menjelang akhir tahun ini.
Ia berdasarkan usaha serius kerajaan membangunkannya sejak kira-kira lima tahun lalu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili hari ini.
Katanya, pada ketika ini sumbangan sektor tersebut ialah kira-kira 2.2 peratus kepada KDNK dan tidak mustahil mencapai 5 peratus menjelang akhir tahun 2020.
“Sektor penyelidikan dan penghasilan bioteknologi kini dilihat antara industri teras yang mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pavilion Bioteknologi Malaysia sempena Konvensyen Antarabangsa Bio 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BiotechCorp., Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp., Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Menurut Maximus, pada ketika ini negara telah mempunyai 158 syarikat bioteknologi berstatus BioNexus dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan dan industri subsektor bioteknologi.
“Mereka menyumbang pelaburan bernilai RM1.54 bilion. Sebanyak 51 peratus daripadanya telah menjana pendapatan.
“Sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan pendapatan syarikat-syarikat berkenaan adalah melalui eksport,” katanya sambil memberitahu pendapatan kesemua syarikat berkenaan kini telah mencapai RM537 juta.
Apa yang membanggakan menurut Maximus lagi, syarikat-syarikat berstatus BioNexus tersebut turut mendapat keyakinan pelaburan dan kerjasama daripada pelabur asing seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali, Belgium, India, China, Singapura, New Zealand, Jepun, Taiwan dan Australia.
“Syarikat berstatus BioNexus Malaysia bukan sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia tetapi juga sehingga ke Bursa London dan Australia dengan modal kira-kira RM2.2 bilion,” tambahnya lagi.
Mengenai sasaran pengkomersialan sektor bioteknologi, Maximus memberitahu, Malaysia meletakkan sasaran sehingga 10 peratus.
Ia katanya, banyak bergantung kepada pelaburan dan kerjasama selain pencapaian penyelidikan-penyelidikan yang dijalankan oleh institusi-institusi pengajian tinggi dan penyelidikan.
“Kita melihat sejauh mana kesemuanya dapat dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa. Setakat ini sasaran pengkomersialan adalah mengikut perancangan,” ujarnya.
Sementara itu, pelancaran pavilion tersebut turut menyaksikan kira-kira 29 hektar kawasan Iskandar Malaysia di Johor sebagai satu pusat bioteknologi utama negara dan global.
Ia yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau dan diperbaharui dibangunkan oleh Bio-XCell Sdn. Bhd., iaitu kerjasama antara BiotechCorp. dengan UEM Land Holdings Berhad.
Pada pelancaran pavilion itu juga, Maximus menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Bio-XCell dengan General Electric International Inc. (GE) untuk mewujudkan infrastruktur strategik dan ekosistem bioteknologi di kawasan tersebut.
GE juga berperanan menyediakan kemudahan pengeluaran industri dan sains hayat selain inovasi dalam bidang bioteknologi.