Kesesakan lalu lintas khususnya dari Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dijangka mampu dikurangkan apabila Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) beroperasi dua tahun lagi.
Lebih raya sepanjang 8.1 kilometer itu menghubungkan CIQ dengan Lebuh Raya Utara-Selatan di Persimpangan Bertingkat Pandan kini telah lebih 30 peratus siap.
Ia yang mula dibina pada 2008 oleh Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) melalui anak syarikatnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. (MRCB Lingkaran Selatan) menelan kos hampir RM1 bilion.
Pengarah Eksekutif MRCB, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, pembinaan EDL berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan.
"Pengguna dijangka dapat menggunakan EDL pada awal tahun 2012. Ketika ini proses pembinaan EDL melebihi tahap 30 peratus dan kami sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya dalam menyelesaikan beberapa isu tertangguh termasuk masalah penempatan semula setinggan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis taklimat bersama media yang disampaikan Pengarah Projek, Shaharuddin Mohamed di sini, baru-baru ini.
Ahmad Zaki berkata, lebuh raya dengan tiga lorong sehala itu adalah percuma kepada pengguna kecuali bagi kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan ke Singapura.
"Pengguna yang ingin pergi dan balik dari Singapura dikenakan tol semasa di CIQ. EDL menggunakan sepenuhnya sistem Touch n Go," katanya.
Beliau berkata, EDL yang direka bentuk bagi penyuraian dan kelancaran trafik dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Iskandar Malaysia.
Pada masa sama, beliau meminta penghuni setinggan yang masih belum berpindah supaya berbuat demikian untuk memberi kelancaran kepada pembinaan projek tersebut.
"Projek ini dibina untuk kebaikan semua pihak. Ia juga mampu memacu perkembangan pesat ekonomi dan pembangunan di bandar raya ini," katanya.
Menurutnya, daripada 424 keluarga setinggan yang terbabit, hanya 126 keluarga yang telah menerima tawaran berpindah dengan menerima pampasan dan subsidi sewaan daripada pihaknya setakat ini.
Beliau berkata, setiap keluarga menerima subsidi sewa sebanyak RM380 sebulan selama tiga tahun sementara menunggu rumah yang diperuntuk kepada mereka siap dibina pada Februari 2012.
Selain itu, mereka juga diberi bantuan perpindahan sebanyak RM2,000 serta pengangkutan bas sekolah untuk
Lima kawasan setinggan yang terbabit dengan perpindahan itu adalah Kampung Desa Melayu, Kampung Desa Jaya, Kampung Desa Makmur, Kampung Tengah dan Kampung Belantik.