Peluang bekal pokok hutan

07 April 2010 , By Utusan Malaysia

Masyarakat Orang Asli di Gelang Patah dekat sini diminta memainkan peranan secara aktif dalam pelbagai projek pembangunan Iskandar Malaysia termasuk membekalkan anakanak pokok hutan dalam projekprojek pembangunan wilayah tersebut.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ia boleh dilakukan jika masyarakat tersebut mengusahakan tapak semaian pokok hutan yang mempunyai potensi besar dalam usaha menambah pendapatan mereka.

“Projek-projek di Iskandar Malaysia memerlukan pokok hutan yang banyak dan ini boleh dibekalkan oleh masyarakat Orang Asli jika mereka mempunyai tapak semaian.

“Misalnya, Kota Iskandar akan membina taman seluas 40 hektar manakala Medini pula akan membina taman seluas 242 hektar yang kesemuanya memerlukan bekalan anak pokok hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemahiran Belia Tempatan (Bertam) untuk masyarakat Orang Asli dan penyerahan empat buah rumah kepada Orang Asli di Kampung Simpang Arang di sini semalam.

Program berkenaan menyediakan kursus membina rumah dalam tempoh empat bulan bagi membolehkan seramai 41 peserta menceburi bidang membuat rumah sebagai usaha menambah pendapatan.

Ia adalah anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Abdul Ghani berkata, selain kemahiran membina rumah yang diperoleh dalam program berkenaan, masyarakat Orang Asli boleh menerokai bidang tapak semaian untuk pembangunan sekitar tempat mereka yang termasuk dalam Iskandar Malaysia.

Menurutnya, dengan cara itu mereka akan meraih pendapatan berlipat kali ganda di samping melakukan pekerjaan tradisi sebagai nelayan pantai dan memungut hasil hutan.

Katanya, peluang baru mengusahakan tapak semaian tersebut juga tidak asing lagi bagi masyarakat tersebut kerana rata-rata mereka mahir dalam hal berkaitan hasil hutan termasuk menguruskan anak pokok.

Beliau memberitahu, antara jenis pokok tersebut ialah ketapang, tembusu, jati dan balau yang mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

“Dalam hal pasaran juga tidak menjadi masalah kerana anak-anak pokok ini diperlukan di pembangunan sekitar tempat tinggal mereka di Iskandar Malaysia.

“IRDA mungkin boleh membeli secara terus daripada mereka,” jelasnya.


Sementara itu Abdul Ghani berkata, masyarakat Orang Asli perlu sentiasa meningkatkan kemahiran termasuk mengikuti kursus dalam bentuk sijil dan diploma bagi memastikan boleh bersaing dalam pasaran kerja.

Menurutnya, dalam bidang pembinaan para peserta boleh memilih sama ada menjadi usahawan membuat rumah, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau bekerja dengan syarikat tempatan dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu suri rumah, Noraini Roki, 22, meluahkan rasa gembira kerana menerima sebuah rumah setingkat yang selesa dengan tiga bilik.

“Sebelum ini saya dan suami, Mohamad Adam Riau, 28, bersama dua orang anak terpaksa menumpang di rumah ibu tetapi hari ini kami sudah mempunyai rumah sendiri,” katanya.

Mohamad Adam berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mempunyai rumah akhirnya menjadi kenyataan dengan keprihatinan kerajaan.

Seorang peserta Bertam, Nizam Karnoh, 27, pula berkata, dia bersyukur kerana terlibat dalam program itu yang memberinya modal RM356,700 untuk membina empat buah rumah.

“Ini satu kemahiran yang cukup bermakna kerana sebelum ini kami tidak tahu selok-belok membina rumah. Saya berharap pemuda di kampung ini akan terus menyertai pelbagai program yang dianjurkan kerajaan untuk manfaat sendiri,” katanya.

Related Content

Iskandar Service Centre

Iskandar Service Centre provides one-s...

Iskandar Malaysia Information Kit

Flagship Incentives Iskandar Malaysia ...

Awareness Of The Iskandar Malaysia Brand

Iskandar Malaysia’s Brand is growing...

Where to Stay & Eat?

Accommodation For the discerning inves...

Iskandar Regional Development Authority

The Iskandar Regional Development Auth...

Blueprint for Iskandar Malaysia

Here is where you can find and downloa...

FAQs

1. What is Iskandar Malaysia...

 
Share |