Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan supaya tidak terlalu banyak 'berpolitik' sehingga menjejaskan rancangan mewujudkan perkhidmatan transit aliran massa (MRT) yang menghubungkan Singapura dengan Johor Bahru.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang bangun mencelah ketika Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini menegaskan, beliau mahu projek berkenaan dipercepatkan.
''Saya mendapati Timbalan Menteri begitu pantas menjawab bahawa projek ini masih lagi dalam peringkat kajian.
''Kalau boleh kita jangan berpolitik sangat, sebaliknya berilah tumpuan untuk melaksanakan projek ini secepat mungkin kerana ia akan memberi kemudahan kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.
Kementerian Pengangkutan Singapura pada Februari 2008 memaklumkan pihaknya dengan kerjasama kerajaan Malaysia telah mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji cadangan mewujudkan perkhidmatan MRT yang menghubungkan kedua-dua negara.
Turut membuat desakan itu ialah, Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang menyifatkan kemudahan MRT amat diperlukan oleh penduduk Johor yang berulang-alik ke Singapura.
''Sebenarnya bukan sahaja orang Johor, malah ramai lagi penduduk dari seluruh Malaysia yang bekerja di Singapura yang memerlukan perkhidmatan MRT.
''Ketiadaan perkhidmatan ini menyebabkan antara 30,000 hingga 40,000 orang terpaksa bersesak-sesak di Tambak Johor setiap hari untuk menyeberang ke republik berkenaan," katanya.
Tambah Boon Soon, kerajaan juga perlu mengkaji semula cadangan YTL Corporation Berhad untuk menyediakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur-Johor Bahru-Singapura selaras dengan matlamat menjadikan Johor Bahru pintu masuk utama di selatan tanah air.
Mengulas desakan itu, Abdul Rahim berkata, cadangan mewujudkan perkhidmatan MRT harus diperinci dengan sebaik-baiknya supaya tiada isu-isu berbangkit di kemudian hari.
''Sekiranya projek MRT ini dapat membantu ekonomi negeri Johor, saya percaya Kementerian Pengangkutan tiada halangan untuk ia dilaksanakan," katanya.
Mengenai kereta api berkelajuan tinggi, katanya, kerajaan belum membuat sebarang keputusan dan projek itu hanya akan dilaksanakan sekiranya ia benar-benar perlu.
''Memang ada cadangan satu ketika dulu, tetapi tiada keputusan dibuat kerana terdapat pihak yang menentangnya dengan alasan ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan serantau,'' katanya.