Lebuh raya E22 siap akhir tahun

05 March 2010 , By Berita Harian

Laluan dekatkan penduduk sekitar Bandar Penawar, Pengerang dengan Wilayah Iskandar

KOTA TINGGI: Penduduk sekitar Bandar Penawar dan Pengerang, di sini kini semakin hampir dengan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia apabila Fasa Dua Lebuhraya Senai-Desaru atau dikenali sebagai E22 sepanjang 27 kilometer itu akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata lebuh raya berkenaan yang sepatutnya siap pada pertengahan tahun ini berdepan dengan kelewatan berikutan masalah teknikal untuk pembinaan jambatan sepanjang 1.7 kilometer menyeberangi Sungai Johor.

Beliau berkata,  pihaknya dimaklumkan bahagian akhir Lebuhraya E22 membabitkan jarak sepanjang 27 kilometer dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang sedang dalam pembinaan itu dijangka siap akhir tahun ini.

“Pemaju lebuh raya berkenaan, Senai-Desaru Expressway Berhad memaklumkan kerajaan negeri bahawa jambatan yang menggunakan sambungan kabel tunggal merentasi Sungai Johor itu memerlukan tambahan masa untuk melakukan penelitian bagi kerja pemasangan kabel.

“Apabila siap, keseluruhan lebuh raya sepanjang 77 kilometer itu akan membabitkan kos RM1.4 bilion akan dibuka sepenuhnya kepada laluan pengguna Februari tahun depan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Parlimen Kota Tinggi termasuk di Teluk Senget, di sini.

Ketika ini, jambatan yang merentasi Sungai Johor itu dari Kong-Kong di Pasir Gudang ke Teluk Senget seolah-olah terputus tiga apabila projek yang dibahagikan kepada dua fasa yang bermula 2004 itu sepatutnya siap awal tahun ini.

Bagaimanapun, Fasa Pertama yang merangkumi laluan dari Senai ke Pasir Gudang sepanjang 50 kilometer sudah pun siap dan dibuka kepada pengguna pada September tahun lalu, manakala Fasa Kedua iaitu bahagian akhir membabitkan Cahaya Baru, Pasir Gudang ke Desaru Baru sejauh 27 kilometer sedang dalam pembinaan.

Abdul Ghani berkata, dengan siap lebuh raya itu, ia mampu mengatasi masalah kesesakan jalan raya di beberapa kawasan khususnya di Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, malah ia membawa limpahan pembangunan positif di kawasan Desaru dan Pengerang.

Beliau berkata, pihaknya percaya penduduk di daerah ini terutama di kawasan Bandar Penawar dan Pengerang akan menikmati pelbagai projek pembangunan yang bakal terbuka luas dengan beroperasi lebuh raya berkenaan pada tahun depan.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Iskandar Insight Newsletter

Here is where you can find and downloa...

Bus Iskandar Malaysia Service

'Khidmat Mesra, Komuniti Selesa'...

Iskandar Service Centre

Iskandar Service Centre provides one-s...

Where to Shop?

Shopping As the Southern Gateway to Ma...

MM2H programme

Malaysia My Second Home Programme (MM2...

What is Iskandar Malaysia : How We Can Help

How We Can Help   Investing in Ma...

 
Share |