Johor mengalu-alukan sebarang usaha mana-mana dewan perniagaan dan industri tempatan untuk meningkatkan pelaburan di dalam pelbagai sektor di negeri ini, khasnya yang bukan berasaskan buruh, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.
Ini termasuk mencari dan membawa masuk pelaburan asing atau melabur sendiri di dalam bidang yang berpotensi tinggi untuk maju.
"Kita alu-alukan usaha mencari dan membawa masuk sumber pelaburan asing oleh dewan perniagaan dan industri dan mereka sendiri juga boleh membuat pelaburan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis sambutan tahun baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Tiong Hua Johor (JCCCI) di sini Isnin.
Ini, katanya selari dengan usaha kerajaan pusat untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat dari berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi pada masa akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan idea-idea baru dari dewan-dewan perniagaan dan industri bagi mentransformasikan koridor pembangunan Iskandar Malaysia yang turut merangkumi bandaraya ini, menjadi sebuah metropolis menjelang 2025.