Kerajaan negeri sedang membangunkan sistem aduan awam bersepadu dalam talian yang dikenali sebagai e-Jawab bagi menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih cepat dan berkesan.
Malah, e-Jawab akan diintegrasikan dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), 'Perkhidmatan Gerbang SMS Kerajaan Malaysia' atau dikenali sebagai My SMS 15888.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, e-Jawab membolehkan rakyat membuat aduan, pertanyaan, cadangan dan penghargaan kepada agensi kerajaan negeri.
"Rakyat juga boleh membuat semakan status aduan yang dibuat dan menerima maklum balas daripada agensi yang ditujukan aduan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Laman Web Terbaik Kerajaan peringkat negeri 2009 di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri juga boleh melihat laporan dan status pelaksanaan pengurusan aduan di setiap agensi dengan adanya sistem berkenaan.
Pada masa sama, Unit Audit Dalam diberi kuasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan pengurusan aduan dilaksanakan dengan baik dan teratur, katanya.
Menurutnya, pelbagai perkhidmatan juga boleh ditawarkan melalui SMS seperti semakan cukai tanah, sesuatu permohonan dan hebahan aktiviti kerajaan.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga telah membangunkan blog rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membolehkan para pemimpin negeri itu menyampaikan maklumat dan memberi penerangan terhadap sesuatu isu.
"Ia juga dapat membantu ADUN mengumpulkan maklumat, maklum balas, pandangan dan cadangan daripada rakyat untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu rancangan dan keputusan," katanya.