UEM Land Holdings Bhd., (UEM Land) melancarkan Pelan Hijau Nusajaya dalam usaha mengimbangi perubahan cuaca dan pemuliharaan alam sekitar bagi komuniti kawasan tersebut dan global.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata, pelan induk itu turut merangkumi data dan informasi yang mampu membantu mengenal pasti isu-isu alam sekitar melibatkan Nusajaya.
Pihaknya percaya pengurusan alam sekitar terancang mampu menyumbang secara positif kepada usaha global dalam menangani perubahan cuaca dunia.
"Langkah itu akan membezakan Nusajaya daripada bandar raya lain dan menunjukkan usaha syarikat ke arah membina sebuah bandar raya serantau yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Seterusnya, ia dapat mengimbangi keperluan manusia dengan alam sekitar pada masa ini dan akan datang," katanya semasa berucap pada program penanaman pokok bakau di tapak Ramsar sempena pelancaran Minggu Alam Sekitar peringkat negeri di Gelang Patah di sini, kelmarin.
Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong.
Wan Abdullah berkata, objektif yang terkandung dalam Pelan Hijau Nusajaya itu bakal mentransformasikan bandar tersebut menjadi bandar yang sejahtera untuk didiami.
Beliau berkata, beberapa faktor telah digaris dalam pelan itu seperti menggalakkan gaya hidup pintar dan penyayang di bandar serta mengoptimumkan penggunaan tenaga dan sumber.
Katanya, turut digaris adalah penambahbaikan kualiti persekitaran binaan dan sumber-sumber di bandar dan mempertingkat serta memperkasa prasarana visual di bandar berkenaan.
"Falsafah pelan itu turut menggabungkan langkah-langkah pencegahan dan penambahbaikan yang merangkumi dalam konsep ROSE iaitu mengurang (reduce), mengimbang (offset), mengganti (substitute) dan mempertingkat (enhancement).
"Elemen itu jika dipraktik secara konsisten bakal menurunkan jumlah karbon dalam kehidupan seharian," katanya.
Dalam pada itu, Wan Abdullah memberitahu, kerjasama UEM Land dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diteruskan lagi pada masa akan datang menerusi sebuah program perintis kesedaran alam sekitar untuk tiga sekolah terpilih di Nusajaya.