Sebanyak lima Klinik 1 Malaysia (K1M) diwujudkan di negeri ini setakat ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, daripada lima klinik itu, tiga terletak di bandar raya ini dan masing-masing satu di Kluang dan Kulaijaya.
“Di bandar raya ini kita letakkan K1M di kawasan yang padat penduduk iaitu di Taman Megah Ria, Seri Alam dan Sri Stulang.
“Contohnya di Sri Stulang, K1M akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 45,000 penduduk di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek K1M di Seri Alam dan Sri Stulang di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan K1M pada 23 Oktober lalu, pihaknya terus melancarkan gerak kerja mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk dibangunkan dengan klinik berkenaan.
Bagi menggerakkan klinik tersebut, pihaknya menempatkan penolong pegawai perubatan, jururawat dan seorang kakitangan sokongan.
“Pada dasarnya K1M merupakan klinik pelengkap kepada klinik kesihatan awam yang ada di persekitaran terbabit.
“Contohnya, K1M Sri Stulang merupakan pelengkap kepada Klinik Kesihatan Tebrau,” katanya.
Dr. Robia berkata, tumpuan rawatan adalah kepada kes-kes ringan pesakit luar dan bagi kes kritikal K1M akan berperanan menstabilkan pesakit sebelum dihantar ke klinik atau hospital berdekatan.
Mengenai kadar bayaran, beliau memberitahu, setiap pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik itu hanya dikenakan RM1 sahaja.
Klinik itu akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam dan dibahagikan kepada dua giliran.
Dr. Robia memberitahu, kos untuk mewujudkan sebuah K1M menelan belanja RM70,000 yang meliputi bangunan asas, kelengkapan dan peralatan yang sewajarnya.
Beliau berkata, K1M diwujudkan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.