JOHOR BAHRU: Daerah ini dan Nusajaya dijangka dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan transit aliran ringan (LRT) menjelang tujuh hingga 10 tahun akan datang.
Pengarah Projek UEM Land Holdings Bhd (UEM Land), Zulkifli Tahmali, berkata pelan induk projek berkenaan bakal disiapkan sepanuhnya selepas laluan dikenal pasti.
“Perancangan laluan LRT akan dipastikan kemudian dengan mengutamakan tempat menarik dan ingin dikunjungi orang ramai.
“Apa yang penting penyediaan kemudahan pengangkutan berkenaan buat kali pertama di negeri ini, akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya selepas melancarkan Minggu Kempen Jaminan Kualiti, Keselamatan Pekerja, Kesihatan dan Alam Sekitar anjuran UEM Land di sini, semalam.
UEM Land adalah syarikat pemaju utama yang diberi tanggungjawab merealisasikan Nusajaya menjadi Bandar bertaraf dunia terbesar di Asia Tenggara.
Nusajaya juga satu daripada lima zon pembangunan utama yang termasuk dalam projek pembangunan di Iskandar Malaysia.
Zulkifli berkata, pembinaan LRT itu mampu mempertingkatkan lagi sistem pengangkutan awam di negeri ini terutama di Nusajaya yang bertukar wajah menjadi kawasan pesat membangun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, ini kerana penyediaan kemudahan pengangkutan itu akan memberi kebaikan kepada penduduk kawasan itu yang semakin bertambah dan padat.
“Jumlah penduduk Nusajaya sekarang dianggarkan seramai 75,000 orang dan kami menjangka jumlah itu akan meningkat kepada 100,000 orang menjelang 2015,” katanya.