Legoland siap dua tahun lagi

03 December 2009 , By Utusan Malaysia

Iskandar Malaysia telah berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM51 bilion sejak tiga tahun lalu. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, jumlah itu menyaksikan pelabur swasta Singapura melabur RM2.64 bilion dalam projek pembuatan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan Legoland Malaysia di Medini, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd., Arlida Ariff dan Pengurus Besar Legoland Development Merlin Entainment, John Ussher.

Abdul Ghani berkata, setakat ini, Iskandar Malaysia berjaya mewujudkan kira-kira 44,500 peluang pekerjaan tahun ini, termasuk Legoland dijangka mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Pada tahun depan, beliau berkata, Iskandar Malaysia akan terus mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi tempatan dan luar negara bagi membina wilayah tersebut.

"Kita akan mencari dan membina hubungan yang erat dengan rakan kongsi global termasuk Singapura yang merupakan negara pelabur ketiga terbesar bagi Johor," jelasnya.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan pelaburan, pelabur tempatan mewakili 35 peratus manakala pelabur antarabangsa pula 63 peratus.

Mengulas mengenai pembinaan Legoland itu, beliau berkata, pembinaannya akan siap sepenuhnya pada 2012 iaitu setahun awal daripada jadual ditetapkan.

Abdul Ghani berkata, ia adalah taman tema Legoland yang pertama di Asia dan Legoland kelima di dunia.

"Legoland di sini dibina melalui konsep yang disesuaikan dengan kedudukannya yang terletak di negara tropika seperti Malaysia," jelasnya.

Abdul Ghani berkata, ia dibina di atas tapak seluas 28 hektar dengan pelbagai kemudahan hiburan termasuk berbentuk pendidikan untuk kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun.

Sementara itu Arlida berkata, pembukaan pusat hiburan Universal Studio di Singapura pada tahun depan dijangka tidak memberi kesan kepada Legoland kerana sasaran pengunjung adalah berbeza.

Malah katanya, perkembangan yang berlaku di negara jiran itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan pesat Iskandar Malaysia dengan adanya limpahan ekonomi apabila pelancong boleh tinggal lebih lama di Johor dan Singapura.

Related Content

Iskandar Malaysia Brochures

Here is where you can find and downloa...

Awareness Of The Iskandar Malaysia Brand

Iskandar Malaysia’s Brand is growing...

MM2H programme

Malaysia My Second Home Programme (MM2...

Iskandar Malaysia Sustainable Metropolis Conference 2011

Download Iskandar Malaysia Sustainable...

FAQs

1. What is Iskandar Malaysia...

Safe Home Campaign

As part of Iskandar Malaysia’s commi...

 
Share |